Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan, berkata parti itu belum membincangkan calon untuk menggantikan Loke Siew Fook sebagai menteri pengangkutan.
Menurutnya, perkara itu tidak wajar diketengahkan memandangkan peletakan jawatan Loke belum berkuat kuasa.
“Buat masa ini peletakan jawatan beliau belum berkuat kuasa selagi Najib tidak jejak kaki ke rumah (jadi) tidak wajar untuk membincangkan soal siapa pengganti.
“Bila tiba masa, keanggotaan Jemaah Menteri adalah prerogatif perdana menteri. Sudah tentu perdana menteri akan buat keputusan selepas berbincang dengan setiausaha agung DAP sendiri,” katanya menurut Harian Metro.
Surat peletakan jawatan Loke
Semalam, Loke dilaporkan mengesahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib tiba di kediamannya untuk menjalani tahanan di rumah.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan asal sudah pun diserahkan sebelum ini. Loke turut sempat berbincang mengenai perkara itu dengan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Denda dilunaskan, AGC minta tangguh
Pada hari sama, Umno mengumumkan telah melunaskan denda yang dikenakan terhadap bekas presidennya itu. Parti itu berjaya mengumpulkan dana mencukupi menerusi kempen kutipan derma yang dilancarkan pada September.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengeluarkan perintah pelepasan selepas bayaran direkodkan.
Namun, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan bahawa pelaksanaan tahanan rumah wajar ditangguhkan sementara. Langkah itu bagi meneliti persoalan perundangan berkaitan perintah pengampunan dan kesan perintah mahkamah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.