
Dua ADUN Sabah yang digantung keahlian Umno kerana menyokong Hajiji Noor ketika cubaan menggulingkan kerajaannya pada 2023 dilaporkan berhasrat bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata Shahelmey Yahya serta Andi Muhammad Suryady Bandy telah menyuarakan hasrat untuk mewakili gabungan itu atau bertanding menggunakan tiket GRS.
“Saya tiada halangan kerana kedua-duanya pemimpin — seorang menteri dan seorang lagi pembantu menteri,” ujarnya, menurut laporan The Borneo Post. Pengumuman rasmi mengenai kedudukan mereka dijangka dibuat pada waktu yang sesuai, tambah beliau.
Shahelmey, Ahli Parlimen Putatan, memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat pada 2020 atas tiket Barisan Nasional dan kini memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri III serta Menteri Kerja Raya dalam Jemaah Menteri negeri sementara. Andi pula memenangi kerusi DUN Tanjung Batu dan kini berkhidmat sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan dalam Jemaah Menteri negeri sementara.
Kedua-dua mereka antara tujuh ADUN Umno yang menyokong Hajiji semasa krisis politik 2023 — tindakan yang kemudiannya membawa kepada penggantungan keahlian mereka dalam parti. Bulan lalu, Hajiji memberi isyarat bahawa Shahelmey mungkin bertanding sebagai calon GRS dan beliau yakin Shahelmey mampu mempertahankan kerusinya pada PRN nanti.
Bagaimanapun, Hajiji menegaskan GRS belum memuktamadkan senarai calon bagi pilihan raya negeri kali ini. “Hari penamaan calon masih lambat lagi,” katanya, seraya menambah rundingan agihan kerusi dengan rakan gabungan, termasuk Pakatan Harapan (PH), masih berlangsung selepas pertemuan dengan Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.
Menjawab laporan bahawa PH menuntut lebih 20 kerusi, Hajiji menyifatkan ia satu perkara biasa dalam rundingan gabungan politik, dan menekankan kedua-dua pihak perlu bersikap praktikal. “GRS minta kawasan yang kita berpeluang cerah untuk menang, untuk jamin kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan pada 6 Oktober dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, dengan tarikh sebenar akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.