Malaysia berada pada landasan ekonomi yang betul di bawah kerajaan semasa. Sebaliknya, masalah politik dan ekonomi di Eropah boleh dijadikan pengajaran tentang perkara yang tidak patut dilakukan, kata seorang ahli ekonomi.
Geoffrey Williams berkata, ekonomi Malaysia semakin rancak dengan pertumbuhan kukuh dan kemajuan teknologi. Beliau merujuk pelaburan negara dalam kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, di samping kekuatan berterusan sektor industri tradisional.
“Saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang amat rancak, dan ekonominya telah mencapai kejayaan besar di bawah kerajaan semasa,” katanya pada Forum Ketua Pegawai Eksekutif dan Pemimpin Perniagaan Antarabangsa 2026 di sini hari ini.
Williams turut mengiktiraf rakyat Malaysia atas pencapaian ekonomi negara. Menurutnya, kejayaan itu tidak seharusnya dikaitkan semata-mata dengan pelabur asing atau pelaburan besar dalam teknologi.
“Andalah yang telah menjayakan ekonomi negara ini,” katanya kepada hadirin, sambil menambah bahawa pencapaian serupa turut dapat dilihat di seluruh Asia.
Eropah jadi iktibar
Williams kemudian membandingkan keadaan itu dengan kesukaran sosial dan ekonomi yang diperhatikannya ketika lawatan baru-baru ini ke United Kingdom (UK). Beliau melihat orang ramai tinggal di dalam khemah di sepanjang jalan yang suatu ketika dahulu sibuk dengan perniagaan runcit.
“Ini satu bencana. Benar-benar satu bencana,” katanya sambil mengkritik hala tuju ekonomi Britain dan cara negara itu mengendalikan Brexit.
UK mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) menerusi referendum pada 2016 dan secara rasmi meninggalkan blok itu pada Januari 2020. Aturan perdagangan baharu pula berkuat kuasa pada 2021. Pertumbuhan ekonominya sejak itu dibatasi oleh halangan perdagangan yang lebih tinggi dan pelaburan yang lebih lemah.
Satu kajian yang diterbitkan Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat menganggarkan Brexit telah mengurangkan keluaran ekonomi UK sebanyak 6% hingga 8% menjelang 2025, berbanding keadaan sekiranya negara itu kekal dalam EU.
Williams turut menyuarakan kebimbangan terhadap pergolakan sosial dan keganasan di beberapa bahagian Eropah. Beliau berkata, Malaysia dan ekonomi Asia lain perlu mengekalkan hubungan masyarakat yang secara relatifnya aman, berasaskan muafakat dan inklusif.
“Melihat apa yang sedang berlaku di Eropah, sudah tiba masanya untuk kita mengambil iktibar tentang perkara yang tidak patut dilakukan (dalam mentadbir negara),” katanya.
Ekonomi Malaysia berkembang 6% pada suku kedua 2026, manakala anggaran awal menunjukkan pertumbuhan sederhana kepada 5.3% pada suku ketiga. Sebagai perbandingan, ekonomi UK berkembang 1.9% tahun ke tahun pada suku ketiga, menurut angka yang dikeluarkan Pejabat Statistik Kebangsaan negara itu pada 12 Nov.
Pastikan lebih ramai nikmati manfaat pertumbuhan
Ahli ekonomi itu berkata, cabaran lebih besar bagi Malaysia ialah memastikan kejayaan ekonominya diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat yang dapat dirasai.
Williams berkata, penekanan lebih besar perlu diberikan kepada pengagihan kekayaan yang dijana melalui kegiatan ekonomi, supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran negara.
“Kita sudah tahu cara menjana nilai tambah. Kini, kita perlu mencari jalan untuk mengagihkannya semula dan memastikan seramai mungkin rakyat dapat menikmati manfaat daripada nilai tambah itu,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.