
Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan keputusan mengejutkan apabila Arsenal gagal mengekalkan rekod tanpa kalah, manakala Manchester City terus dirundung badi dengan kekalahan kedua berturut-turut.
Di Anfield, Arsenal terpaksa akur selepas tewas tipis 0-1 kepada juara bertahan, Liverpool. Kekalahan itu sekali gus memanjangkan kemarau kemenangan The Gunners di gelanggang keramat The Reds kepada 13 perlawanan berturut-turut.
Skuad kendalian Mikel Arteta bermula dengan baik meskipun kehilangan William Saliba yang cedera awal dan digantikan Cristhian Mosquera. Mereka mencipta enam percubaan serta lima sepakan penjuru pada babak pertama, malah hampir mendahului selepas kesilapan penjaga gol tuan rumah, David Raya, dimanfaatkan Alexis Mac Allister namun berjaya dihalang pertahanan.
Di babak kedua, Arsenal terus mengasak namun peluang yang terhidang gagal disempurnakan. Sebaliknya, pada minit ke-60, gol Hugo Ekitike dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Namun, Anfield akhirnya bergema apabila Dominik Szoboszlai, yang diturunkan di posisi pertahanan kanan, menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-83 untuk memastikan kemenangan tipis 1-0 milik Liverpool.
Sementara itu, di Stadium Amex, Manchester City terus dirundung duka apabila tumbang 1-2 kepada Brighton. Skuad bimbingan Pep Guardiola menurunkan kesebelasan terbaik dengan Erling Haaland mengetuai serangan, malah penyerang Norway itu meraikan penampilan ke-100 EPL dengan gol ke-88 pada minit ke-34 hasil hantaran Omar Marmoush.
Namun, tuan rumah bangkit di babak kedua. Sepakan penalti James Milner pada minit ke-65 selepas bola terkena tangan Matheus Nunes menyamakan kedudukan. Brighton kemudian mengesahkan tiga mata penuh apabila pemain gantian, Brajan Gruda, meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.
Dalam satu lagi aksi, West Ham United mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Nottingham Forest hasil jaringan Jarod Bowen, Lucas Paqueta dan Callum Wilson.