
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI susulan kebimbangan terhadap isu keselamatan dan kandungan yang boleh mempengaruhi golongan muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah yang bakal diambil oleh Australia terhadap Roblox pada Disember ini.
” Kita masih menunggu dan melihat bagaimana Australia melaksanakan peraturan itu. Mereka sedang merancang, tetapi belum dilaksanakan. Malaysia akan menilai sama ada pendekatan itu sesuai dengan keadaan dan budaya tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah selepas dikelar oleh abangnya yang berusia sembilan tahun di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat pada Isnin lalu. Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, dilaporkan berkata motif masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati abang mangsa berkemungkinan mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu dan semua “point” yang dikumpulnya hilang.
Kerajaan Australia sedang meneliti sekatan penggunaan Roblox bagi pengguna berumur 16 tahun ke bawah atas kebimbangan platform berkenaan boleh memberi pengaruh negatif dan dikaitkan dengan beberapa insiden. Nancy berkata Malaysia akan memantau pelaksanaan dasar di Australia sebelum membuat sebarang keputusan rasmi berkaitan aplikasi tersebut.
” Memang benar perkembangan teknologi seperti ini ada pengaruhnya terhadap kes-kes yang berlaku. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan belajar daripada negara lain sebelum membuat keputusan,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.