
Seorang pemilik kedai kad koleksi di Michigan sedang berdepan kerugian besar selepas pencuri melarikan kad Pokémon bernilai puluhan ribu dolar Amerika dalam satu kejadian pecah masuk yang dirakam kamera keselamatan.
Pemilik kedai berkenaan, Jonathan Gappy, yang mengendalikan kedai hobi keluarga bernama First Edition Finds di Sterling Heights, menawarkan ganjaran tunai AS$15,000 (kira-kira RM71,000) kepada sesiapa yang dapat membantu mengenal pasti suspek.
“Ini benar-benar sesuatu yang tidak pernah kami jangka,” kata Gappy.
Menurut beliau, suspek dalam rakaman itu melarikan kira-kira AS$50,000 (sekitar RM236,000) kad Pokémon bernilai tinggi.
“Dia terus menuju ke rak di mana barangan paling mahal disimpan. Jelas sekali dia pernah berada di dalam kedai sebelum ini dan tahu apa yang dicari,” jelas Gappy.
Kejadian itu berlaku sejurus selepas tengah malam pada hari Rabu. Gappy menerima amaran keselamatan melalui telefonnya dan, apabila memeriksa kamera secara langsung, beliau melihat pencuri sedang mengambil barangan dan merosakkan kedai. Polis Sterling Heights segera dihubungi tetapi suspek telah melarikan diri sebelum mereka tiba.
Antara kad yang dicuri ialah kad Pokémon yang telah digred secara profesional, kebanyakannya dinilai sempurna 10 daripada 10.
“Kad-kad ini bukan kad longgar dalam fail pengumpul,” kata Gappy. “Ia dihantar kepada syarikat penilaian untuk disahkan keadaan sempurnanya.”
Kedai First Edition Finds baru sahaja dibuka kira-kira dua bulan lalu. Walaupun berdepan kejadian ini, Gappy menegaskan beliau tidak akan menyerah kerana kedai tersebut adalah hasil minat peribadinya.
“Kad-kad ini saya kumpul bersama anak perempuan saya — termasuk kad gred tertentu yang kami buka bersama pada pagi Krismas,” katanya.
Selain menawarkan ganjaran, Gappy turut mengingatkan pemilik kedai hobi lain supaya meningkatkan kawalan keselamatan.
“Kunci semua yang boleh dikunci dan sentiasa peka terhadap orang yang masuk ke kedai anda. Keadaan sekarang memang menakutkan,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau identiti suspek diminta menghubungi polis Sterling Heights.