
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, mendakwa tentera Thailand masih menduduki wilayah negaranya secara tidak sah susulan pertempuran yang berlaku tahun lalu.
Beliau berkata, keadaan itu berterusan dan berisiko menggugat perjanjian gencatan senjata yang disifatkan sebagai rapuh, yang dimeterai pada Disember bagi menamatkan semula konflik antara kedua-dua negara. Perjanjian itu diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Desakan aktifkan mekanisme teknikal
Hun Manet menggesa Thailand supaya membenarkan Suruhanjaya Sempadan Bersama memulakan tugas di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Beliau yang berada di Washington untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan Trump minggu ini berharap badan tersebut dapat memainkan peranan meredakan ketegangan di kawasan sempadan.
Thailand pula menegaskan kedudukan tenteranya dikekalkan sebagai sebahagian daripada langkah meredakan ketegangan dan menafikan dakwaan bahawa mereka menduduki mana-mana wilayah Kemboja.
Kenyataan pemimpin Kemboja itu mencerminkan risiko konflik berulang walaupun Trump terus mempromosikan kejayaan perjanjian damai berkenaan.
Pertempuran jejas ribuan penduduk
Pertempuran paling buruk dalam tempoh lebih sedekad yang tercetus pada Julai lalu menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal serta menjejaskan perdagangan di sepanjang sempadan sejauh 817 kilometer.
Perjanjian damai yang dimeterai pada Oktober bersama Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, bagaimanapun runtuh dalam beberapa minggu sebelum gencatan senjata baharu dicapai pada 27 Disember.
Dalam temu bual bersama Reuters, Hun Manet menegaskan masih terdapat tentera Thailand yang berada jauh di dalam wilayah Kemboja, meliputi beberapa kawasan yang menurutnya melangkaui tuntutan sempadan sebelah pihak Thailand sendiri.
Beliau mendakwa tentera Thailand meletakkan kontena penghantaran dan dawai berduri di kawasan yang sejak sekian lama diiktiraf Thailand sebagai wilayah Kemboja, sekali gus menghalang penduduk daripada kembali ke kediaman masing-masing.
Hun Manet menegaskan perkara itu bukan satu tuduhan, sebaliknya berdasarkan situasi di lapangan, dan Kemboja tidak boleh menerima sebarang pelanggaran terhadap kedaulatan serta keutuhan wilayahnya.
Pilihan raya dan harapan baharu
Menurutnya, satu-satunya cara mengesahkan keadaan sebenar adalah melalui mekanisme teknikal berasaskan perjanjian serta persetujuan yang telah dicapai sebelum ini.
Beliau berharap Thailand bersetuju untuk membenarkan Suruhanjaya Sempadan Bersama berfungsi secepat mungkin, sambil memaklumkan bahawa pilihan raya pada 8 Februari sebelum ini dijadikan alasan untuk tidak memulakan kerja penandaan sempadan.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dilaporkan mengaitkan isu konflik sempadan itu dengan sentimen nasionalisme susulan pilihan raya.
Hun Manet berkata, selepas pilihan raya selesai, beliau berharap Thailand dapat memulakan sekurang-kurangnya peringkat teknikal untuk mengukur dan menanda kawasan panas supaya kehidupan dapat kembali normal.
Hun Manet mengambil alih kepimpinan selepas pilihan raya 2023 yang menyaksikan parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja, bertanding hampir tanpa saingan.
Beliau yang juga graduan Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point menegaskan bahawa hubungan Kemboja dengan China dan Amerika Syarikat bukan bersifat eksklusif.
Menurutnya, Kemboja tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan berhubung pangkalan tentera laut Ream yang dinaik taraf oleh China.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.