
Gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Sabah awal pagi Isnin disahkan sebagai yang terkuat pernah melanda negara dalam tempoh 11 tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan rekod MetMalaysia, gegaran terkuat sebelum ini ialah gempa bermagnitud 6.0 di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015.
Kejadian 11 tahun lalu itu mengorbankan 18 nyawa dan kekal sebagai antara peristiwa paling diingati dalam sejarah negara.
Berhampiran Lingkaran Api Pasifik
Mengulas kejadian terbaharu, beliau berkata gempa di perairan Sabah berlaku berikutan kedudukan negeri itu yang berhampiran Lingkaran Api Pasifik, zon aktif gempa bumi akibat pergerakan plat kerak bumi.
MetMalaysia memaklumkan pusat gempa berada pada kedalaman 678 kilometer di bawah permukaan bumi.
“Memandangkan pusat gempa berada jauh di bawah permukaan bumi, hanya gegaran lemah dapat dirasai oleh orang ramai,” katanya kepada Bernama.
Tiada ancaman tsunami
Gempa yang berlaku pada jam 12.57 tengah malam itu tidak membawa sebarang ancaman tsunami.
Pusat gempa terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat, Sabah. Gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Sabah selain Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Setakat ini, MetMalaysia masih menjalankan pemantauan rapi dan belum merekodkan sebarang gempa susulan.
Agensi itu akan terus memantau secara berterusan aktiviti seismik di kawasan berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.