
Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kaedah ‘‘co-teaching’’ atau pengajaran bersama dua guru dalam satu kelas sebagai salah satu pendekatan baharu dalam Kurikulum Persekolahan 2027, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menurut Fadhlina, inisiatif itu akan dilaksanakan di seluruh negara bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar. Beliau berkata kaedah tersebut bertujuan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik serta berkesan.
‘‘Dalam kaedah co-teaching, dua guru bekerjasama dalam satu kelas; ini bukanlah seorang guru dibantu pembantu pengajar, tetapi gabungan dua tenaga pengajar setara yang memainkan peranan untuk menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menarik minat pelajar,’’ jelasnya dalam temu bual dengan BH Online.
Fadhlina menambah bahawa kaedah ini memberi ruang kepada guru untuk menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP. Interaksi aktif antara dua guru diyakini dapat memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya dan membantu mengatasi masalah keciciran pembelajaran.
Beliau juga menegaskan bahawa berbeza dengan kurikulum lama yang menekankan nilai hanya dalam subjek Pendidikan Islam atau Moral, kurikulum baharu menuntut semua guru—sama ada Sains, Bahasa Inggeris, Matematik atau subjek lain—mengintegrasikan nilai dan pembentukan karakter dalam pengajaran masing-masing.
Sebelum ini dilaporkan kementerian memperuntukkan 60 minit seminggu untuk Program Pembentukan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027, yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah. Program itu disusun dalam jadual waktu persekolahan supaya aktiviti pembentukan karakter dapat dilaksanakan secara terancang dan berfokus.
Fadhlina menjelaskan pembaharuan yang bermula sesi 2027 tidak mengubah teras pendidikan negara, sebaliknya meminda pendekatan pengajaran supaya selari dengan perkembangan zaman. Fokus diberikan kepada kemahiran dan pembelajaran bersepadu.
Sebagai contoh, beliau berkata pembelajaran bersepadu membolehkan pelajar mempelajari subjek Bahasa Inggeris, Sains dan muzik dalam satu sesi yang diubahsuai agar lebih menarik. Gabungan dua guru dalam sesebuah kelas juga dilihat sebagai kaedah untuk menangani masalah kelas padat yang menyumbang kepada keciciran.
Sambil melaksanakan intervensi terhadap kemudahan fizikal dan persekitaran sekolah, Fadhlina memandang co-teaching sebagai alternatif terbaik untuk memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif dan berkesan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.