
Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata parti itu akan menampilkan calon yang berasal dan berakar umbi di Sabah serta memahami kehendak dan aspirasi rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bulan depan.
Wee menjelaskan calon yang bakal diketengahkan mempunyai rekod khidmat yang baik di kawasan masing-masing dan sudah dikenali oleh penduduk setempat. Beliau menegaskan aspek keakraban dengan akar umbi dan pengalaman perkhidmatan tempatan menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan calon.
Menurut Wee, senarai calon MCA bagi PRN Sabah telah dibincangkan di peringkat Barisan Nasional (BN) dan kini menunggu pengesahan akhir sebelum pengumuman rasmi dibuat. Beliau menjangkakan pengumuman tersebut akan dibuat sebelum hari penamaan calon pada 15 November, manakala pelancaran jentera pilihan raya dijadualkan kira-kira seminggu lebih awal.
Wee turut mengesahkan laporan terdahulu bahawa BN akan menampilkan calon daripada MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk bertanding pada PRN ke-17. Beliau menegaskan MCA kekal sebagai sebahagian daripada keluarga BN dan menolak spekulasi bahawa parti itu akan keluar daripada gabungan tersebut.
“Setakat ini tiada isu. Setiap parti ada dinamik tersendiri, tetapi sebarang perubahan akan dibincangkan mengikut prosedur dan secara mendalam. Fokus kami sekarang ialah kerja-kerja menghadapi PRN Sabah,” kata Wee.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.