
Cita-cita MCA untuk menawan sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen pada PRU16 hanya realistik jika parti menumpukan kerusi marginal dengan sokongan akar umbi kukuh dan jentera berkesan.
Penganalisis UiTM Mujibu Abd Muis berkata, tanpa perubahan strategi jelas dan usaha membina sokongan merentas kaum, sasaran itu berisiko kekal sebagai retorik politik semata-mata.
Cabaran sistem dan realiti demografi
Menurut Mujibu, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post dan realiti masyarakat majmuk, MCA hampir mustahil mencapai sasaran itu jika bergerak secara solo.
Beliau berkata sokongan pengundi Cina sahaja tidak mencukupi, khususnya di kawasan campuran, menyebabkan MCA perlu bersama gabungan politik yang stabil dan berkesan.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas sasaran Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon untuk memenangi semula sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen pada PRU16.
Chong sebelum ini menegaskan parti akan fokus kepada kawasan dengan sokongan kukuh, calon berwibawa dan jentera mantap, berbanding bertanding terlalu banyak kerusi.
Keperluan gabungan dan pembaharuan strategi
Mujibu berkata gabungan politik yang disertai MCA perlu bersifat inklusif dan diyakini pelbagai kaum, bukan hanya diterima oleh elit politik semata-mata.
Beliau menambah MCA perlu memperjelas identiti dan hala tuju dasar agar tidak terus dilihat bergantung kepada nostalgia sejarah politik lampau.
Isu kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat perlu menjadi fokus utama bagi menarik sokongan pengundi semasa.
Pemilihan calon berintegriti dengan hubungan akar umbi kukuh serta pengukuhan jentera dan kempen digital juga dilihat penting.
Sasaran tinggi, risiko kekal kecil
Penganalisis Global Asia Consulting Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri menyifatkan sasaran tujuh kerusi itu bercita-cita tinggi tetapi sukar dicapai dalam landskap politik semasa.
Beliau berkata MCA perlu membina semula kredibiliti akar umbi dan menyertai gabungan yang diterima pelbagai kaum untuk keluar daripada bayang-bayang BN.
Namun katanya, MCA tetap berdepan cabaran persaingan kerusi sama ada dengan DAP atau Gerakan, bergantung kepada gabungan politik dipilih.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.