
PAS menegaskan tiada hubungan formal dengan pemimpin Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy, dan Presiden Urimai, P. Ramasamy, kata Ketua Dewan Ulamak, Ahmad Yahaya.
Ahmad berkata gabungan longgar pembangkang yang turut melibatkan kedua-dua pemimpin itu, yang diketuai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, hanya tertumpu kepada isu-isu umum berkaitan kepentingan rakyat. Beliau menjelaskan kerjasama berkenaan bukanlah satu ikatan politik yang tetap tetapi lebih kepada usaha menangani isu-isu semasa seperti kos sara hidup.
“Saya kira itu bukan satu ikatan atau kerjasama yang tetap; ia lebih bersifat menangani isu-isu semasa sahaja. Contohnya, adakan pertemuan berkaitan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika ditemui media pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS ke-64 di Maahad Darul Hadis.
Ahmad menegaskan kerjasama sedemikian tidak menjadi masalah selagi ia tidak mengganggu perjalanan PAS dan kerjasama politik dalam PN. Beliau juga menganggap dakwaan bahawa PAS ‘gadai prinsip’ akibat hubungan dengan Waytha Moorthy dan Ramasamy sebagai naratif pihak lawan semata-mata.
Sebelum ini, Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, berkata beberapa parti pembangkang akan membentuk satu gabungan untuk “mencari salah kerajaan” dan memperjuangkan isu-isu rakyat, termasuk janji reformasi yang didakwa gagal ditunaikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Gabungan tersebut dilaporkan merangkumi Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Urimai.
Waytha Moorthy dan P. Ramasamy sebelum ini antara individu yang lantang mengkritik PAS. Susulan kerjasama itu, beberapa pemimpin Umno mendakwa PAS sanggup mengorbankan prinsip perjuangan asal demi memperoleh kuasa.