
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempergiat usaha memperkukuh industri pelancongan Sabah melalui penambahan penerbangan terus, pembangunan kemudahan serta libat urus intensif dengan pemain industri.
Menterinya, Tiong King Sing, berkata kementerian kini dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan dan laluan ke Sabah, termasuk penerbangan terus ke Tawau dari beberapa destinasi luar negara. Beliau menjangka akan ada tambahan 3 hingga 4 syarikat penerbangan baharu membuka laluan terus ke Tawau bulan depan.
Selain menambah laluan udara, Tiong menekankan kepentingan memanjangkan tempoh tinggal pelancong supaya limpahan ekonomi sampai kepada sektor perhotelan, restoran dan peniaga kecil. “Sekarang ini ramai pelancong yang tiba di Tawau terus ke Semporna. Kita mahu mereka singgah di Tawau dahulu, bermalam satu malam supaya industri tempatan turut menerima manfaat,” katanya.
Menterinya juga mengakui kelemahan infrastruktur masih menjadi cabaran kepada pengembangan sektor pelancongan di negeri ini. Kerajaan sedang meneroka pelbagai mekanisme pembiayaan termasuk geran, pinjaman dan kerjasama dengan bank serta pemain industri bagi menaik taraf kemudahan asas yang menyokong sektor pelancongan.
Dalam usaha menambah hasil untuk pembangunan, Tiong berkata kerajaan meneliti penambahbaikan pelaksanaan outbound tax bagi meningkatkan dana yang boleh disalurkan semula kepada projek pelancongan. Beliau memetik amalan negara lain sebagai rujukan dan mengatakan pihaknya sedang mencari formula yang sesuai dengan keadaan tempatan.
Tiong menegaskan bahawa pelancongan tetap antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah dan menuntut tindakan bersepadu dari kerajaan dan sektor swasta untuk merealisasikan potensi tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.