
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS, Sanusi Nor, mengesahkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen PN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah dimuktamadkan, dan hanya menunggu pengumuman rasmi oleh pimpinan tertinggi gabungan itu.
Sanusi berkata proses perbincangan mengenai kerusi yang akan ditandingi kini berada pada peringkat akhir. “Kita sedang ‘finalize’ kerusi akan ditandingi. Rundingan sudah dimuktamadkan, cuma saya tidak boleh maklum lagi sehingga diumumkan oleh parti,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata pengumuman rasmi mengenai calon dan agihan kerusi dijangka dibuat sebelum tarikh penamaan calon, iaitu 15 November. Sanusi mengingatkan agar semua pihak bersabar menantikan pengumuman tersebut, sambil menegaskan bahawa persiapan pilihan raya sudah bermula. “Sabar… sabar… biar suspense sikit. Kalau saya bagi tahu semua hari ini, nanti tak ada berita dah. Apa pun kerja-kerja pilihan raya sudah bermula dari sekarang,” ujarnya.
Sanusi ditemui selepas menyampaikan sumbangan sempena Deepavali kepada 1,000 penerima di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Dalam kunjungan itu beliau turut mengulangi bahawa semua pembahagian kerusi antara parti komponen PN telah diselesaikan, dan pengumuman mengenai jumlah kerusi bagi setiap parti akan dibuat pada majlis khas sebelum penamaan calon.
PRN Sabah dijadualkan berlangsung pada 29 November, dengan undi awal ditetapkan pada 25 November. Sanusi tidak memberi butiran lanjut mengenai pembahagian bilangan kerusi atau senarai calon setakat ini, menekankan bahawa maklumat rasmi akan diumumkan oleh pimpinan parti pada masa yang sesuai.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.