
Persoalan tentang siapa bakal calon Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan menjadi tumpuan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat tengah hari ini.
Ketika Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, sedang membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026, Ahli Parlimen PH untuk Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, mencelah dan menyoal siapakah calon Perdana Menteri daripada pihak pembangkang. Pada mulanya Hamzah enggan memberi jawapan, tetapi kemudian menyatakan bahawa semua Ahli Parlimen pembangkang sudah maklum mengenai calon tersebut.
“Kalau nak tahu, kami di sini semua dah tahu siapa calon Perdana Menteri. Kalau Kota Melaka nak tahu, sila masuk PN,” kata Hamzah.
Poay Tiong bagaimanapun mendakwa pembangkang sebenarnya tidak mengetahui siapa yang akan mengisi jawatan itu. “Kalau ikut jawapan Larut, ertinya tak tahu siapa lagi,” ujarnya, merujuk kepada kenyataan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.
Hamzah menyifatkan celahan Poay Tiong sebagai gangguan terhadap perbahasannya. “Kalau saya beritahu dia, dia bukan mengundi kita pun. Jadi, tidak payah sibuklah. Ini kerja kami, jangan kacaulah,” kata Hamzah.
Isu calon Perdana Menteri dalam kalangan PN timbul selepas BERSATU pada 7 September lalu meluluskan usul menamakan presidennya, Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri ke-11 ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu.
Namun pada 12 September, Pemuda PAS mencalonkan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai calon utama Perdana Menteri bagi PN, susulan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyandang jawatan itu serta keputusan sebulat suara supaya kepimpinan PAS mengambil peranan memimpin PN.
Susulan cadangan-cadangan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan bahawa pimpinan tertinggi PN akan mengadakan perbincangan untuk menentukan calon Perdana Menteri bagi gabungan politik tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah menafikan dakwaan bahawa beliau mempunyai perselisihan dengan Muhyiddin. “Siapa kata saya gaduh dengan Pagoh,” katanya sebelum berjabat tangan dengan Muhyiddin yang duduk bersebelahan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.