
Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyasarkan untuk bertanding tidak lebih daripada empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, kata Presidennya, Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, setakat ini tiga kerusi telah dikenal pasti iaitu DUN Pantai Manis dan Kawang dalam Parlimen Papar serta Tamparuli di Parlimen Tuaran.
Namun, katanya, keputusan muktamad bergantung kepada hasil perbincangan bersama Perikatan Nasional (PN) selepas ini.
“Hasrat kami ketika ini ialah untuk bertanding tiga atau empat kerusi, namun semuanya bergantung kepada hasil rundingan dengan PN.
“Saya akui di Papar, kedua-dua kerusi Pantai Manis dan Kawang adalah antara kawasan yang menarik minat kami. PN juga tentunya akan bekerjasama dengan parti tempatan di Sabah, jadi kami akan akur kepada keputusan akhir mereka,” katanya.
Mukhriz berkata demikian dalam sidang media semalam yang turut dihadiri Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester dan timbalannya, Razif Abdillah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.