
Hari ini, seramai 1.76 juta pengundi di Sabah menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih 73 Ahli Dewan Undangan Negeri baharu pada Pilihan Raya Negeri ke-17.
Proses pengundian bermula pada jam7.30 pagi di seluruh negeri, manakala pusat mengundi ditutup secara berperingkat sehingga jam5 petang.
Di beberapa kawasan pulau, pusat undi akan ditutup lebih awal, seawal jam12 tengah hari, bagi memenuhi keperluan logistik tempatan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi akan keluar mengundi hari ini, mengambil kira kadar keluar mengundi PRN lalu serta undi awal yang telah dijalankan.
Bagaimanapun, pihak SPR mengakui perubahan cuaca mungkin memberi kesan kepada pergerakan pengundi di beberapa kawasan. Keputusan untuk menangguhkan proses hanya akan dipertimbangkan jika keadaan bencana dianggap benar-benar kritikal oleh Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah.
Persaingan calon
Sebanyak 596 calon daripada 24 parti serta calon Bebas bertanding untuk merebut 73 kerusi DUN pada PRN kali ini. Calon Bebas mencatat penyertaan tertinggi dengan 74 calon, manakala Parti Warisan menampilkan 73 calon yang bertanding di semua kerusi.
Parti Impian Sabah pula menurunkan 72 calon, diikuti PGRS 55 calon, STAR 46 calon, Barisan Nasional 45 calon dan Perikatan Nasional 42 calon.
Kumpulan parti lain turut memperlihatkan penyertaan ketara, termasuk KDM 40 calon, UPKO 25 calon, Pakatan Harapan 22 calon dan Parti Kebangsaan Sabah 20 calon. Parti Kerjasama Anak Negeri mencatat 17 calon, Parti Perpaduan Rakyat Sabah 16 calon dan PBK meletakkan 14 calon.
Turut serta ialah calon daripada Rumpun, SAPP, SPP, PR, GAS, PBM dan ASPIRASI mengikut bilangan yang telah diumumkan.
Logistik pengundian
Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan bahawa operasi logistik melibatkan penggunaan helikopter, bot dan kenderaan pacuan empat roda di 85 kawasan untuk mengambil dokumen dan peti undi dari pusat mengundi. SPR menegaskan prosedur operasi standard telah disediakan bagi menangani kemungkinan seperti banjir atau tanah runtuh.
Tindakan penangguhan pilihan raya hanya akan diambil berdasarkan laporan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa bencana.
SPR menjangka keputusan awal PRN Sabah dapat diketahui seawal jam10 malam, manakala keputusan penuh dijangka diumumkan sekitar jam12 tengah malam.
Tempoh pengiraan mungkin mengambil masa lebih lama bagi peti undi yang perlu dibawa dari kawasan pedalaman atau yang memerlukan pergerakan udara. Keadaan cuaca dan kelancaran proses pengiraan akan menjadi faktor utama menentukan jadual pengumuman keputusan.
Ramlan menyeru agar pengundi keluar mengundi lebih awal untuk mengelakkan kesesakan pada waktu petang dan mematuhi arahan petugas pusat mengundi sepanjang proses berjalan.
Beliau menekankan bahawa penyertaan pengundi amat penting untuk menentukan kerajaan negeri yang baharu di Sabah.
Pengundi dinasihatkan mengikuti panduan keselamatan dan menggunakan saluran demokrasi bagi memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.