
Pemain tengah Paris Saint-Germain, Fabián Ruiz menjadi watak utama apabila meledak dua gol dalam separuh masa pertama, membantu pasukannya membenam Real Madrid 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife.
Dua kesilapan pertahanan oleh barisan belakang Real Madrid membuka ruang kepada PSG untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh sembilan minit pertama perlawanan. Kemenangan itu memastikan juara Perancis tersebut mara ke final menentang Chelsea.
Pada minit keenam, Raul Asencio gagal mengawal bola dengan baik, membolehkan Ousmane Dembélé merampasnya. Walaupun cubaan pertamanya diselamatkan Thibaut Courtois, bola pantul disambar Ruiz yang mudah menyudahkan peluang terbuka untuk gol pembukaan.
Tiga minit kemudian, kegagalan Antonio Rüdiger menyepak bola dengan kemas sekali lagi mengundang padah. Dembélé bijak mengambil kesempatan, dan kali ini percubaannya terus menewaskan Courtois untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Pemain gantian Gonçalo Ramos memastikan kemenangan bergaya PSG dengan gol keempat tiga minit sebelum tamat permainan, melengkapkan malam dominasi penuh dari pasukan kendalian Luis Enrique.
Ruiz menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian yang membanggakan, sambil memuji ketahanan mental pasukan di bawah cuaca panas.
“Ia adalah satu perlawanan yang luar biasa dan kemenangan yang hebat. Walaupun beraksi dalam cuaca panas, pasukan kami tetap fokus dan berjaya melaksanakan misi dengan sempurna. Mengalahkan pasukan hebat seperti Real Madrid merupakan pencapaian besar,” kata Ruiz.
Sementara itu, percaturan taktikal pengendali Real Madrid, Xabi Alonso, nyata tidak membuahkan hasil. Ketiadaan Dean Huijsen yang digantung dan Trent Alexander-Arnold yang masih cedera memaksa Alonso meninggalkan sistem lima pertahanan dan beralih kepada empat pertahanan — satu keputusan yang akhirnya memakan diri.
PSG pula bijak mengambil kesempatan atas kerapuhan benteng pertahanan lawan, meneruskan momentum cemerlang mereka selepas menewaskan Inter Milan 5-0 dalam final Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu.