
Pulau Pinang memulakan lembaran tahun baharu dengan pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terbaik dunia bagi tahun 2026 oleh dua agensi media antarabangsa terkemuka, CNN dan New York Times.
Menerusi senarai yang dikeluarkan oleh pasukan CNN Travel, Pulau Pinang dipilih sebagai antara 20 lokasi terbaik untuk dilawati, dengan menyifatkan negeri ini menawarkan cita rasa sejarah yang unik kepada para pelancong.
Penyenaraian ini meletakkan Pulau Pinang sebaris dengan destinasi global yang lain seperti Adelaide di Australia, Aragon di Sepanyol, Brussels di Belgium, Devon di United Kingdom, Oulu di Finland, Philadelphia di Amerika Syarikat, serta negara Algeria dan Timor Leste.
Keunikan gastronomi dan budaya Peranakan
CNN Travel memberikan penekanan khusus terhadap keistimewaan gastronomi Pulau Pinang, terutamanya budaya Peranakan yang menjadi identiti unik negeri ini. Selain itu, elemen sejarah, seni mural jalanan, serta kaitan dengan pereka kasut tersohor dunia, Jimmy Choo yang berasal dari negeri ini turut menjadi daya tarikan utama.
Laman web berkenaan turut memuji kepelbagaian pilihan makanan di Pulau Pinang yang boleh dinikmati oleh semua peringkat tanpa perlu berbelanja besar. Sama ada gerai jalanan, pasar malam mahupun kopitiam, pengunjung dapat merasai keenakan kari yang beraroma, laksa, serta pelbagai kuih-muih tradisional seperti kek pandan dan kelapa.
Sambil menikmati juadah, pelancong disaran menerokai mural jalanan ikonik di George Town, termasuk karya seni yang memberi penghormatan kepada wira tempatan, Jimmy Choo.
Pengiktirafan tunggal destinasi di Malaysia
Dalam pada itu, Penang Global Tourism (PGT) menerusi kenyataan di laman sosial memaklumkan bahawa pengiktirafan global ini membuktikan keistimewaan sebenar yang dimiliki oleh Pulau Pinang.
Pulau Pinang merupakan satu-satunya destinasi di Malaysia yang berjaya menembusi senarai berkenaan. Faktor utama kejayaan ini adalah reputasi Pulau Pinang sebagai sebuah bandar pelbagai budaya yang kaya dengan nilai sejarah serta komitmen berterusan dalam menghargai warisan silamnya.
Selain pengiktirafan daripada CNN, New York Times turut menyenaraikan Pulau Pinang dalam kelompok 52 Destinasi Menarik untuk Dilawati bagi tahun 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab pelancongan utama di persada antarabangsa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.