
Satu sesi taklimat khas berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights akan diadakan pada hari Isnin ini, melibatkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Menteri Besar Selangor,Amirudin Shari memaklumkan bahawa taklimat ini dianjurkan khusus bagi semua wakil rakyat, tanpa mengira latar belakang parti sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang.
“Semasa sesi taklimat Rang Undang-Undang (RUU) serta sesi Pre-Council bersama ADUN Selangor pada hari Khamis, saya telah mengarahkan supaya sesi taklimat khas ini diadakan melibatkan semua wakil rakyat pada hari Isnin.
“Selain itu, saya telah memohon kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Lau Weng San, agar memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memberikan penjelasan berhubung isu yang sama dalam sesi DUN akan datang.
“Kerajaan Negeri Selangor berpegang teguh kepada prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kami menjunjung sepenuhnya prinsip tersebut serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari Jumaat.
Terdahulu dilaporkan bahawa insiden letupan tersebut mengakibatkan 81 buah rumah musnah sepenuhnya dengan tahap kerosakan struktur melebihi 40%, 81 buah rumah lagi mengalami kerosakan separa, manakala 57 buah rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan 218 buah rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Ramai mangsa turut dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu, namun pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa tiada kematian berlaku.
Laporan akhir hasil siasatan mendapati bahawa punca kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights adalah disebabkan oleh keadaan tanah yang lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi, yang gagal memberikan sokongan struktur yang mencukupi kepada paip tersebut.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh yang dijalankan selama hampir tiga bulan menunjukkan kegagalan struktur berlaku kerana sokongan tanah yang tidak mencukupi.
Walau bagaimanapun, isu keselamatan infrastruktur utiliti bawah tanah serta keberkesanan prosedur pemantauan telah menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak termasuk tokoh politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dapatan laporan tersebut.