
Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, memberi bayangan beliau mungkin tidak akan kembali menyertai barisan pimpinan parti pada masa hadapan dan mencadangkan agar beliau dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengambil jalan masing-masing yang berbeza.
Dalam hantaran di Facebook, Rafizi menegaskan pendiriannya akan terus menyuarakan pandangan berkaitan isu parti dan politik semasa, namun mengharapkan agar kepimpinan parti tidak berlebihan memberi reaksi setiap kali beliau mengeluarkan pandangan.
“Cuma saya harap PKR dan pimpinan baharu yang ada ini cukup-cukuplah melatah dan meloncat setiap kali saya bagi pandangan,” katanya, sambil menambah keputusan tertentu telah dibuat oleh PKR dan ramai pimpinan kini bersetuju dengan keputusan tersebut.
Rafizi juga menolak dakwaan kononnya beliau mempunyai cita-cita untuk mencabar Perdana Menteri sebagai satu versi baharu naratif yang berulang. Beliau menjelaskan wujud beberapa percubaan pada peringkat awal untuk menuduh beliau tidak menjaga akar umbi, sebelum kritikan itu bertukar kepada dakwaan merajuk serta spekulasi mengenai cabaran jawatan dalam parti.
“Apabila saya letak jawatan dan dengan rela hati mengosongkan jawatan empuk kerajaan, walaupun ditawarkan menjadi Timbalan Presiden lantikan versi itu mati di situ sahaja,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan tanggungjawab utamanya kini ialah memastikan masa depan politik yang lebih bersih dan bebas rasuah, serta berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin. Rafizi menambah bahawa adalah lebih baik bagi beliau, PKR dan Anwar Ibrahim untuk mengambil jalan masing-masing.
“Insya-ALLAH, saya akan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin. Yang selebihnya, lebih baik PKR, Anwar Ibrahim dan saya ambil jalan masing-masing yang berlainan. Saya tidak nampak jalan yang akan membawa saya kembali ke dalam barisan pimpinan PKR pada masa akan datang,” ujarnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.