
Shamsul Iskandar Akin, yang semalam meletak jawatan sebagai setiausaha politik perdana menteri, telah membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan yang dikaitkan dengan dakwaan skandal perlombongan di Sabah.
Shamsul mendakwa individu itu telah menabur tohmahan dan fitnah dengan mengatakan wujud arahan daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk merakam beberapa ahli politik Sabah.
Dalam satu hantaran di Facebook, ketua PKR Melaka itu berkata laporan polis itu dibuat pada jam 5.05 petang di Gum Gum, ketika beliau berada di sela-sela kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurutnya, tuduhan yang dibuat Albert Tei merupakan satu “konspirasi jahat” yang bertujuan memburukkan imej perdana menteri serta usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, lebih-lebih lagi ketika musim kempen PRN Sabah sedang berlangsung.
“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri,” katanya.
Shamsul berkata beliau yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan segera terhadap dakwaan tersebut.
Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh kepada mana-mana agensi penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan.
Semalam, Malaysiakini memetik ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, yang mendakwa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk bagi kerja pengubahsuaian hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu, serta cerut premium dan sut tempahan khas.
Tei telah didakwa pada Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada dua ADUN berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Shamsul atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa susulan pendedahan Tei serta isu surat sokongan projek hospital.