
PETALING JAYA: Ramai wanita mungkin tidak menyedari bahawa Sindrom Ovari Polisistik atau PCOS merupakan antara gangguan hormon paling lazim dikesan, dan jika tidak dirawat boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang serius.
PCOS berlaku apabila tubuh wanita menghasilkan hormon androgen secara berlebihan serta gagal bertindak balas dengan baik terhadap insulin, sekali gus menyebabkan haid tidak teratur, masalah kesuburan dan peningkatan risiko penyakit kronik.
Pakar obstetrik dan ginekologi Amirah Amil berkata, peningkatan kes PCOS kini semakin ketara, namun ramai wanita hanya menyedari keadaan tersebut selepas berkahwin apabila menjalani pemeriksaan kesuburan.
“PCOS bukan sekadar gangguan haid atau isu kesuburan semata-mata. Jika tidak dikawal, ia boleh membawa kepada komplikasi serius seperti penyakit jantung, strok dan kanser rahim,” katanya.
PCOS gangguan hormon paling lazim
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia, PCOS diiktiraf sebagai isu kesihatan awam yang signifikan dan antara gangguan hormon paling kerap dialami wanita dalam usia reproduktif, iaitu sekitar 15 hingga 49 tahun.
WHO menganggarkan antara 6% hingga 13% wanita dalam lingkungan umur tersebut terkesan, namun sehingga 70% kes masih tidak didiagnosis kerana kurang kesedaran dan pemeriksaan awal.
Menurut Amirah, gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan makanan tinggi gula, kurang bersenam, tekanan kerja serta stres sosial berlebihan dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang utama.
“Zaman dahulu pun PCOS wujud, tetapi bezanya kini gaya hidup moden, pengambilan minuman manis, makanan viral, kurang tidur dan stres kronik menjejaskan keseimbangan hormon serta tindak balas insulin,” jelasnya.
Tanda awal dan salah faham masyarakat
Amirah berkata, PCOS boleh dikesan lebih awal melalui beberapa tanda seperti haid tidak teratur, jerawat kronik, pertambahan berat badan mendadak dan pertumbuhan bulu berlebihan.
Beliau turut membetulkan anggapan bahawa PCOS bermaksud wanita tidak mampu hamil, sambil menegaskan ramai pesakit berjaya mengandung selepas menjalani rawatan dan perubahan gaya hidup.
“PCOS tidak bermaksud wanita tidak boleh hamil. Dengan rawatan yang betul dan komitmen pesakit, peluang kehamilan tetap ada,” katanya.
Salah faham ini sering menimbulkan tekanan emosi, menyebabkan pesakit berasa rendah diri, malu atau takut berkongsi keadaan mereka kerana bimbang dilabel sebagai tidak subur.
“PCOS boleh menyebabkan hormon tidak stabil, emosi mudah terganggu dan stres meningkat. Apabila ditambah dengan stigma, tekanan yang dialami menjadi lebih berat,” jelasnya.
Rawatan perlu pendekatan jangka panjang
Mengulas lanjut, Amirah berkata PCOS memerlukan pengurusan jangka panjang dan tidak boleh diselesaikan melalui pengambilan ubat semata-mata.
Pengurusan berkesan perlu melibatkan perubahan menyeluruh terhadap rutin harian termasuk pemakanan seimbang, corak tidur yang mencukupi, senaman berkala serta pengurusan stres.
“Selepas disahkan PCOS, rawatan tidak boleh dipisahkan daripada perubahan gaya hidup kerana kedua-duanya saling berkait,” katanya.
Beliau menegaskan PCOS bukan pengakhiran kepada impian wanita untuk menjadi ibu kerana pesakit berpeluang menikmati kitaran haid yang lebih stabil, tahap kesihatan yang baik serta peluang kehamilan yang lebih tinggi jika konsisten dengan rawatan.
“Kami membantu pesakit mengubah gaya hidup disertai rawatan yang sesuai, dan apabila keadaan stabil, ramai akhirnya berjaya hamil,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.