Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara terbuka mempelawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White, untuk menjadi setiausaha akhbar White House. Beliau menggesa sekutu rapatnya itu menerima tawaran berkenaan menerusi satu hantaran di media sosial.
“Dana akan menjadi setiausaha akhbar yang tiada tandingannya. Dana, tolong terima jawatan ini!” tulis Trump di platform Truth Social pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, Trump menyifatkan White sebagai “pejuang dan pahlawan”. Beliau turut berseloroh meminta bos UFC itu membawa beberapa atlet terkenal UFC bersamanya ke White House, walaupun sebahagian daripada mereka bukan rakyat AS.
“Kita perlukan mereka untuk mempertahankan kita daripada golongan kiri yang melampau,” tulisnya sambil memuat naik gambar enam atlet UFC.
White dilaporkan tolak tawaran
Sementara itu, agensi berita antarabangsa CNN melaporkan White difahamkan menolak tawaran tersebut, walaupun Trump secara terbuka menyifatkan beliau calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Tawaran itu dibuat ketika White House masih mencari calon tetap bagi jawatan setiausaha akhbar, susulan pemergian Karoline Leavitt dan tempoh perkhidmatan singkat Katie Zacharia dalam peranan tersebut.
Hantaran Trump turut hadir beberapa hari selepas Parti Republikan mengalami kekalahan dalam pilihan raya pertengahan penggal AS sehingga kehilangan majoriti di Kongres.
Tidak lama selepas pengumuman itu, White memuat naik gambar dirinya berdiri di belakang podium bilik taklimat media White House menerusi Instagram. Kapsyennya ringkas, “Menuju ke bab seterusnya”.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada hantaran itu dibuat secara berseloroh atau memberi bayangan terhadap langkah seterusnya.
Sahabat lama Trump
White yang juga menerajui syarikat promosi tinju profesional Zuffa Boxing ialah antara sekutu dan sahabat paling rapat Trump sejak sekian lama.
Beliau dan rakan kongsi perniagaannya membeli UFC pada 2001 dengan nilai AS$2 juta, ketika syarikat itu bergelut dengan masalah kewangan. Pada masa itu, sukan seni bela diri campuran (MMA) berdepan tentangan hebat daripada ahli politik kedua-dua parti utama AS.
Lima tahun sebelum itu, mendiang Senator Republikan, John McCain, pernah melabelkan MMA sebagai “sabung ayam manusia”. Label itu mencetuskan larangan terhadap sukan berkenaan di 36 negeri AS.
Dalam wawancara bersama CBS pada 2025, White berkata kebanyakan venue ketika itu enggan menerima UFC kerana tidak yakin dengan masa depan sukan tersebut dan bimbang terhadap kelompok penonton yang bakal hadir.
Menurutnya, Trump memainkan peranan penting membantu menyelamatkan UFC. Trump membenarkan dua acara organisasi itu dianjurkan di kasino Trump Taj Mahal di Atlantic City, New Jersey, pada 2001 ketika UFC sukar mendapatkan lokasi penganjuran.
Pada musim panas lalu, UFC turut menganjurkan pertarungan sangkar di perkarangan White House sebagai sebahagian sambutan ulang tahun ke-250 AS.
White juga menjadi antara penceramah utama dalam kempen pilihan raya Trump pada Konvensyen Nasional Republikan bagi tahun 2016, 2020 dan 2024.
Namun, masih tidak jelas sama ada beliau mempunyai masa untuk menerima jawatan setiausaha akhbar White House, yang dianggap antara peranan paling mencabar dalam arena politik Washington.
Selain menerajui UFC dan Power Slap, iaitu liga sukan tampar kompetitif yang dikawal selia, White baru sahaja melancarkan syarikat promosi tinju profesional, Zuffa Boxing. Tahun lalu, beliau turut diumumkan sebagai salah seorang daripada tiga ahli lembaga pengarah baharu syarikat teknologi Meta, pemilik Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.