
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memuji Malaysia dan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dalam satu hantaran di Truth Social sebelum berlepas meninggalkan negara ini menuju Jepun.
Dalam hantaran itu, Trump menggambarkan Malaysia sebagai “a great and very vibrant country” dan menyatakan bahawa Amerika Syarikat memeterai “perjanjian perdagangan utama dan perjanjian nadir bumi” sepanjang lawatannya ke Kuala Lumpur.
Beliau turut menyorot pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, menyifatkan kejayaan itu mampu mencegah konflik dan memastikan “jutaan nyawa terselamat”. Perjanjian tersebut dilaporkan bertujuan mengukuhkan gencatan senjata serta meningkatkan kestabilan di sepanjang sempadan kedua negara.
Trump menutup hantaran dengan menyatakan bahawa Jepun ialah destinasi seterusnya dalam siri jelajah Asia beliau, dengan ungkapan ringkas “Sekarang, menuju ke Jepun!!!”
Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Trump dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam10.06 pagi menuju Tokyo. Lawatan ke Jepun merupakan destinasi kedua dalam jelajah Asia tiga negara yang akan diakhiri di Korea Selatan.
Lawatan ini juga disifatkan sebagai bahagian penting dalam rundingan perdagangan dan usaha diplomasi serantau, selaras dengan program pertemuan pemimpin yang dirancang sepanjang jelajah Asia tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.