
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu menegaskan bahawa tarikh akhir tarif timbal balas terhadap baki rakan dagang tidak akan dilanjutkan melepasi Jumaat ini.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social yang ditulis dengan huruf besar, Trump berkata:
“Tarikh akhir 1 Ogos tetap 1 Ogos – ia kekal dan tidak akan dilanjutkan. Hari besar untuk Amerika!!!”
Trump turut mengumumkan akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap barangan dari India, selain cukai import tambahan berikutan pembelian minyak Rusia oleh negara itu.
Beliau menyatakan bahawa India adalah “rakan” Amerika tetapi menegaskan “tarif mereka terlalu tinggi” ke atas barangan AS.
Presiden daripada Parti Republikan itu menambah, India membeli peralatan ketenteraan dan minyak daripada Rusia, yang menurutnya membolehkan perang di Ukraine berlarutan. Justeru, beliau bercadang mengenakan “penalti” tambahan bermula Jumaat sebagai sebahagian daripada pelaksanaan semula tarif baharu pentadbirannya ke atas beberapa negara.
Pengumuman ini dibuat selepas beberapa rangka kerja perdagangan dimeterai dengan Kesatuan Eropah, Jepun, Filipina dan Indonesia — kesemuanya menurut Trump akan membuka pasaran bagi barangan Amerika sambil membolehkan AS menaikkan kadar cukai import.
Trump melihat hasil kutipan tarif sebagai mekanisme untuk membantu mengimbangi peningkatan defisit bajet yang berkaitan dengan pemotongan cukai pendapatan terbarunya, serta merangsang peluang pekerjaan di sektor pembuatan domestik.
Walaupun Trump berkesan menggunakan tarif sebagai alat untuk merunding semula syarat perdagangan, kesan ekonominya masih tidak pasti kerana kebanyakan pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan AS akan perlahan dengan tekanan inflasi yang lebih tinggi apabila kos cukai tersebut dipindahkan kepada perniagaan dan pengguna tempatan.
Biro Banci melaporkan bahawa Amerika Syarikat mengalami ketidakseimbangan perdagangan barangan sebanyak AS$45.8 bilion dengan India tahun lalu, yang menunjukkan import melebihi eksport.
Dengan populasi melebihi 1.4 bilion orang, India merupakan negara terbesar di dunia dan berpotensi menjadi penyeimbang geopolitik terhadap China. India dan Rusia mempunyai hubungan rapat, dan New Delhi tidak menyokong sekatan Barat ke atas Moscow berkaitan perang di Ukraine.
Ketika pertemuan Trump dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada Februari lalu, beliau menyatakan India akan mula membeli minyak dan gas asli dari Amerika Syarikat.
Trump membincangkan dasar perdagangan dan tarifnya dengan wartawan yang mengiringinya pada Selasa dalam penerbangan pulang selepas lawatan lima hari ke Scotland.
Trump turut mendedahkan bahawa garis besar perjanjian perdagangan dengan India masih belum dimuktamadkan.