
Seorang pemimpin Umno membidas Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, dengan mempersoalkan mengapa parti itu tidak menarik diri daripada kerajaan perpaduan sekiranya benar-benar merasakan diri mereka telah “ditipu sepenuhnya” berhubung isu jawatan Kabinet.
Dalam kenyataan di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, mendakwa MIC bimbang kehilangan segala-galanya dan tidak memiliki kekuatan politik yang mencukupi untuk membuat tuntutan mahupun ugutan.
“Jika sudah sedar ditipu, mengapa tidak bertindak keluar? Mengapa terus menyerahkan diri?
Itu menunjukkan Saravanan sebenarnya hanya menggertak – kelihatan garang tetapi hakikatnya tidak berani.
“Kenapa takut? Kerana MIC hanya mempunyai satu kerusi Parlimen. Tidak cukup kuat untuk menarik sokongan atau bertindak keluar. Dia bimbang apa yang dikejar tidak dapat, yang digenggam pula terlepas,” kata Puad.
Saravanan, satu-satunya Ahli Parlimen MIC, sebelum ini memberitahu Utusan Malaysia bahawa parti tersebut berasa “tidak dihargai” di bawah pentadbiran semasa kerana tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC), meskipun mempunyai pemimpin berpengalaman.
Beliau turut memaklumkan bahawa MIC akan menentukan langkah seterusnya selepas Mesyuarat Agung Tahunan parti itu pada bulan Oktober.
Bagaimanapun, Puad berpendapat adalah lebih wajar bagi MIC kekal bersama Barisan Nasional (BN) daripada mengeluarkan ugutan yang tidak mampu direalisasikan.
“Menggertak dengan ‘bargaining power’ yang begitu lemah tidak akan berjaya. Satu kerusi di Tapah tidak memadai untuk MIC. Lebih baik MIC kekal bersama BN,” katanya sambil menambah bahawa parti itu perlu “bangkit dengan kekuatan sebenar” dan bukannya bersandar kepada ugutan kosong.