
Bekas pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Hazani Ghazali, menyertai Parti Wawasan Negara yang dipimpin Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin.
Wawasan turut mengumumkan Hazani, yang juga bekas ketua pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), dilantik menganggotai kepimpinan pusat parti itu.
“Tahniah dan selamat maju jaya kepada Hazani atas pelantikan sebagai ahli jawatankuasa pusat Wawasan,” kata parti itu menerusi hantaran di Facebook.
Hazani berkhidmat selama 38 tahun dalam pasukan polis dan pernah memegang beberapa jawatan penting, termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah serta Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Dua lagi tokoh sertai parti pimpinan Hamzah
Wawasan turut mengumumkan Exco Kedah, Dzowahir Ab Ghani, dan Senator Azahar Hassan dari Perlis turut menyertai parti itu.
Dzowahir, yang juga Adun Suka Menanti, dipecat daripada Bersatu dua bulan lalu, manakala Azahar meninggalkan parti itu tiga hari lalu.
Kemasukan Azahar menjadikan beliau wakil pertama Wawasan di Dewan Negara. Beliau sebelum ini merupakan setiausaha Bersatu Perlis dan ketua Bersatu Kangar.
Latar belakang penubuhan Wawasan
Hamzah mengambil alih Parti Cinta Malaysia sebelum menjenamakannya semula sebagai Wawasan selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada Februari, ketika kemuncak perebutan kepimpinan yang sengit dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.