
Presiden MCA, Wee Ka Siong, menolak tekanan agar parti itu segera membuat keputusan mengenai kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN), sambil menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti hanya akan ditentukan oleh MCA sendiri.
“Sebagai Presiden MCA, apabila tiba masa yang sesuai untuk saya membuat keputusan, saya akan lakukannya. Saya akan mengadakan perbincangan menyeluruh bersama kepimpinan dan akar umbi parti,” katanya pada sidang media di Wisma MCA hari ini.
“Ini bukan urusan pihak lain untuk mengarahkan kami sama ada kekal atau keluar. Ini bukan parti mereka. Jaga hal parti sendiri. Ini parti kami, dan kami lebih memahami situasi kami,” tegas beliau.
Wee menjawab pertanyaan media sama ada MCA akan meninggalkan BN susulan desakan berterusan daripada pihak lawan politik serta sebahagian akar umbi parti yang berpendapat MCA wajar keluar daripada gabungan tersebut berikutan pengaruhnya yang semakin pudar dalam kerajaan perpaduan.
Beberapa ketua bahagian dan pemimpin akar umbi turut berpandangan MCA kini terpinggir dan perlu membina semula kekuatan secara berdikari.
Dalam wawancara bersama The Straits Times pada Jun lalu, Wee memaklumkan bahawa 191 mesyuarat bahagian MCA akan membincangkan masa depan serta hala tuju parti, dan membawa cadangan tersebut ke Perhimpunan Agung Tahunan parti yang dijadualkan pada Oktober ini.
Sementara itu, MIC – rakan komponen BN yang menghadapi keadaan hampir sama – baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan mana-mana parti politik demi menjamin kelangsungan parti serta memperkukuh perkhidmatan kepada komuniti India.
Namun, penganalisis politik memberi amaran kepada MCA dan MIC agar berhati-hati daripada meninggalkan BN memandangkan kedudukan politik kedua-dua parti ketika ini semakin lemah.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, turut mengingatkan parti komponen agar tidak mengugut keluar gabungan, khususnya ketika BN sedang berusaha memulihkan kedudukannya dalam landskap politik negara.