
Malaysia kini memantau dengan teliti keadaan semasa susulan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun selepas gempa bumi kuat melanda perairan Semenanjung Kamchatka, Rusia, pada Rabu.
Dalam satu kenyataan media, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan bahawa sehingga kini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian tersebut.
“Walau bagaimanapun, semua rakyat Malaysia di kawasan terlibat dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan daripada pihak berkuasa tempatan serta mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal atau berada di kawasan terjejas supaya mendaftar dengan kedutaan dan mengekalkan hubungan bagi memudahkan penyampaian bantuan segera sekiranya diperlukan.
Kementerian itu menambah, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di alamat 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo, Jepun, atau melalui telefon di +81-3-3476-3840 / kecemasan: +81-80-4322-3366, atau e-mel ke mwtokyo@kln.gov.my / consular.tyo@kln.gov.my.
Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, Wisma Putra turut memantau secara dekat kesan gempa bumi itu terhadap negara-negara lain yang menghadap Lautan Pasifik, termasuk Amerika Syarikat (terutamanya Hawaii), Mexico, pesisir timur China dan Filipina, memandangkan amaran tsunami dan langkah berjaga-jaga mungkin turut dikeluarkan di kawasan terbabit.
Pada Rabu, Jepun mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan pantai Pasifik negara itu selepas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda perairan Semenanjung Kamchatka. Ombak setinggi 50 sentimeter direkodkan di beberapa kawasan utara dan timur Jepun, menurut laporan Agensi Berita Kyodo.
Agensi Meteorologi Jepun turut memberi amaran bahawa ombak tsunami setinggi antara satu hingga tiga meter berkemungkinan melanda kawasan dari Hokkaido di utara Jepun hingga ke Wilayah Wakayama di barat serta Kepulauan Ogasawara di selatan.
Amaran itu dijangka kekal berkuat kuasa sepanjang hari, menurut agensi tersebut.
Gempa bumi itu berlaku pada pukul 8.24 pagi, kira-kira 120 kilometer ke timur-tenggara Petropavlovsk-Kamchatsky pada kedalaman sekitar 20 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Ombak tsunami setinggi empat meter turut dikesan di perairan tenggara Kamchatka, dengan beberapa individu dilaporkan cedera, menurut agensi berita Rusia, TASS.