
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung bulan ini bukanlah keputusan eksklusif oleh Malaysia sebagai tuan rumah, sebaliknya merupakan kata sepakat antara semua negara anggota ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zahid, sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia menghormati keputusan sebulat suara yang dicapai pemimpin-pemimpin negara anggota berhubung penyertaan ketua negara luar dalam sidang itu.
Beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat secara kolektif dan bukan melalui jemputan dua hala oleh Malaysia semata-mata.
Walaupun begitu, Zahid menegaskan Malaysia tetap berpegang pada pendirian tegas menentang sebarang bentuk campur tangan asing dalam isu Gaza dan Palestin. Beliau mengulangi bahawa pendirian negara terhadap isu tersebut tidak berubah, walaupun sebagai pengerusi ASEAN Malaysia perlu menghormati keputusan sebulat suara blok serantau.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran Mara Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.
Zahid turut menyatakan isu kehadiran Presiden Trump berkemungkinan akan dibincangkan dalam sidang Parlimen yang dijadual bermula esok, dan menegaskan hak ahli Parlimen untuk berbeza pendapat sementara menghormati keputusan Sekretariat ASEAN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.