
Pertandingan ratu cantik Miss Universe sekali lagi dibelenggu kontroversi hanya beberapa hari selepas ia melabuhkan tirai, apabila kedua-dua pemilik bersamanya didakwa terlibat dalam kes undang-undang berasingan membabitkan penipuan dan kaitan dengan rangkaian penjualan haram.
Pertandingan itu berakhir di Thailand minggu lalu dengan peserta dari Mexico dinobatkan sebagai juara, di tengah-tengah drama termasuk konfrontasi terbuka antara pemenang dan seorang pengendali utama pertandingan.
Pada Rabu, seorang pegawai mahkamah Thailand memberitahu AFP bahawa waran tangkap telah dikeluarkan sehari sebelumnya terhadap pemilik bersama Miss Universe dan tokoh media, Anne Jakapong Jakrajutatip, berhubung dakwaan penipuan berjumlah AS$930,000.
Seorang pakar bedah plastik menuduh Anne mengelirukannya dengan menyembunyikan maklumat ketika menggalakkannya melabur dalam syarikat beliau, JKN Global Group, yang merupakan pemilik bersama jenama Miss Universe.
Pada hari sama, Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan Mexico mengesahkan bahawa seorang lagi pemilik bersama, ahli perniagaan Raul Rocha Cantu, sedang disiasat berhubung dakwaan penjualan senjata, dadah dan bahan api secara haram.
“Kami sedang memperoleh maklumat penting yang membolehkan Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan meneruskan dan memperdalam siasatan ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa berkata waran tangkap telah dikeluarkan terhadap 13 tertuduh, namun tiada nama didedahkan secara rasmi. Media Mexico melaporkan bahawa Rocha adalah antara individu yang sedang diburu polis.
Laporan turut menyebut Rocha pernah mempunyai urusan perniagaan dengan bapa ratu Miss Universe yang baharu dinobatkan, Fatima Bosch.
Bapanya, Bernando Bosch, yang juga pegawai kanan syarikat minyak negara Mexico, Pemex, menafikan sekeras-kerasnya wujud sebarang kaitan dengan Rocha.
Terdahulu dalam pertandingan, Bosch mencuri tumpuan apabila mengetuai aksi keluar dewan secara dramatik ketika sesi pertemuan antara peserta dan pengarah pertandingan dari Thailand, Nawat Itsaragrisil.
Nawat dirakam mengkritik secara terbuka peserta dari Mexico kerana didakwa gagal memuat naik kandungan promosi di media sosial, malah menggelarnya “dumbhead”.
Tindakan Bosch menerima pujian meluas di Mexico dan luar negara, termasuk sokongan daripada Presiden Claudia Sheinbaum, ketua negara wanita pertama Mexico.
Bagaimanapun pada Selasa, ratu Miss Universe berusia 25 tahun itu mendedahkan bahawa beliau menerima “hinaaan, serangan malah ugutan bunuh” susulan dakwaan mengenai kaitan bapanya dengan pemilik perniagaan pertandingan tersebut.
Pertandingan Miss Universe sebelum ini dimiliki oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Pada 2022, ia dibeli oleh JKN Global Group milik Anne dengan nilai AS$20 juta, sebelum separuh pegangan dijual kepada Legacy Holding Group USA milik Rocha pada harga AS$16 juta.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.