
Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa tular video dalam majlis orientasi di sebuah universiti yang memaparkan ucapan pemimpin pembangkang, Sanusi Nor, sebagai individu berakhlak buruk adalah tidak wajar.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) menyifatkan tindakan itu sebagai politik kuno dan lapuk, yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan penuntut universiti.
“Hanya kerana perbezaan politik, tidak sepatutnya universiti dijadikan pentas untuk menyerang pemimpin pembangkang. Pendidikan sepatutnya memupuk nilai positif dan bukan dijadikan alat politik,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat.
Penekanan kepada isu moral dan sosial pelajar
Afnan menegaskan universiti sepatutnya memfokuskan kepada kes krisis moral dan sosial yang menimpa pelajar sebagai pengajaran.
Beliau menekankan isu seperti ‘sugar daddy, sugar baby’ dan kelahiran anak luar nikah sebagai contoh situasi yang perlu diberi perhatian.
Beliau turut menekankan kes gangguan seksual di kolej kediaman dan sewaktu latihan industri sebagai perkara serius yang wajar ditangani.
“Memperbetulkan akhlak dan akidah pelajar jauh lebih penting daripada menggunakan mereka sebagai alat politik,” katanya, yang juga Ketua Pemuda PN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.