
Zahid Hamidi menyatakan beliau terbuka menerima keputusan MIC sama ada untuk kekal atau meninggalkan Barisan Nasional (BN), dan menegaskan tidak berminat mencampuri hal ehwal dalaman parti itu.
Zahid tidak mahu campurtangan
Beliau berkata beliau mengikuti secara dekat perbahasan dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC dan menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan serta kepimpinan parti itu.
“Walaupun saya mengikuti dengan dekat apa yang telah dibahaskan dalam perhimpunan agung mereka, saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dan kepimpinan MIC dan saya tidak berhajat mencampuri hal ehwal dalaman mereka,” katanya ketika ditemui media.
Sokongan kepada perbincangan selepas PRN Sabah
Ditanya mengenai cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya BN mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi MIC selepas PRN Sabah, Zahid berkata beliau bersetuju dan sentiasa terbuka kepada sebarang perbincangan.
“Perbincangan itu sebaik-baik pendekatan,” kata beliau.
Ahad lalu, perwakilan MIC meluluskan beberapa usul yang memberi kuasa kepada pucuk pimpinan untuk menentukan hala tuju parti, termasuk cadangan menarik diri daripada BN. Susulan itu, Presiden MIC SA Vigneswaran menjelaskan perwakilan sebulat suara bersetuju menangguhkan keputusan muktamad dan menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat serta presiden.
Penegasan Presiden MIC
Presiden MIC menolak kemungkinan bergerak secara solo dan berkata parti hanya akan memutuskan gabungan mana yang akan disertai sekiranya memilih untuk menarik diri daripada BN. Beliau juga menyebut Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menasihatinya supaya mempertimbangkan semula keputusan itu memandangkan MIC sudah lama berada dalam BN.
MIC, MCA dan Umno merupakan pengasas perikatan sebelum merdeka yang kemudian menjadi Barisan Nasional pada1973.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.