
Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh remaja 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, ketika beliau tiba di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Dr Janefer Voo, 32, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, berkata beliau menerima Zara pada jam 4.38 pagi, 16 Julai, dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Beliau mengalami pelbagai kecederaan, termasuk bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada buku lali kiri, dan patah tertutup pada buku lali kanan,” katanya.
Sejurus selepas itu, “Trauma Alert” diaktifkan pada jam 4.42 pagi bagi rujukan segera kepada pasukan bedah saraf, ortopedik, pembedahan dan anestesiologi.
“Berdasarkan penilaian saya, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk, patah pada kedua-dua buku lali dan pergelangan tangan kiri, serta pendarahan dalaman akibat trauma impak tinggi. Tekanan darah yang sangat rendah juga menunjukkan kemungkinan kecederaan dalaman,” jelasnya.
Dr Voo menegaskan bahawa tiada kesan lebam atau penderaan ditemui pada tubuh Zara. Timbalan Pendakwa Raya, Badiuszaman Ahmad kemudian meminta beliau menandatangani kenyataan saksi.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati Zara mengalami pendarahan otak, patah terbuka pada buku lali dan tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah pada tulang belakang lumbar L2, L3 dan L4, serta pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.
Dr Voo merupakan pegawai perubatan pelatih dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kini ditempatkan di QEH.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.