
Kerajaan secara prinsip bersetuju memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan dibayar secara one-off.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
Elaun tambahan selepas cuti bersalin
Menurut beliau, elaun berkenaan merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin selama 98 hari.
“Elaun ini adalah bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2026 bertemakan “Pekerja MADANI Kesuma Negara”.
Perlindungan pekerja luar negara diperluas
Dalam perkembangan sama, kerajaan juga akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluas kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
Menurut Anwar, pelaksanaan itu akan dimulakan dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 480,000 pekerja.
Pindaan akta libat dua inisiatif
Beliau berkata, kedua-dua inisiatif tersebut akan dilaksanakan menerusi pindaan undang-undang berkaitan sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan perlindungan sosial pekerja.
Anwar menyampaikan pengumuman itu ketika Sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.