
Pensyarah Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Dr Solehah Yaacob, mempertahankan dakwaannya bahawa orang Rom belajar ilmu pembinaan kapal daripada orang Melayu, walaupun berdepan kecaman hebat daripada masyarakat akademik.
Dalam kenyataan semalam, Solehah berkata dakwaannya berasaskan hasil kajian panjang dan disokong oleh pelbagai sumber sejarah.
“Menurut kajian saya, pelayaran maritim pertama dalam sejarah manusia berlaku pada zaman Nabi Nuh, merentasi wilayah yang luas.
“Ahli teologi British, Thomas Brightwell, berpendapat orang Melayu muncul selepas banjir besar dan merupakan antara pelaut terawal,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada karya Richard L. Smith dan Pierre-Yves Manguin yang didakwa menyokong hipotesisnya serta menyatakan orang Rom hanya menguasai pelayaran selepas tahun 31 SM.
Solehah turut mengaitkan pencarian besi berkualiti oleh orang Rom dengan teks Arab yang menyebut kawasan al-Qal’a, iaitu Kedah purba, sebagai sumber besi terbaik.
Bagaimanapun, beliau mengakui belum dapat menjelaskan bagaimana teknologi maritim Melayu itu berpindah ke Rom.
“Pemindahan itu mungkin melibatkan pelaut dari Mesir, India atau dunia Melayu,” katanya.
Dakwaan itu mendapat tentangan daripada ahli sejarah yang menegaskan sejarah maritim Rom sudah terbukti melalui rekod, mozek dan bangkai kapal purba, malah reka bentuk kapal Rom berbeza sepenuhnya dengan kapal Melayu.
Kontroversi itu diperkuatkan lagi apabila pengguna Reddit mendedahkan artikel penyelidikan Solehah pada 2018 dalam Jurnal Al-Tamaddun terbitan Universiti Malaya pernah memetik laman satira The Onion sebagai sumber fakta.
IIUM dalam kenyataan ringkas sebelum ini menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “mengelirukan”.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.