
Bekas Adun Rengit, Puad Zarkashi, menggesa pengundi di kawasan itu menangguhkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sehingga kerajaan Johor menyelesaikan isu bekalan air dan benteng pecah di Kampung Berong Laut.
Beliau berkata kedua-dua masalah itu masih berlarutan walaupun sudah beberapa kali dibangkitkan kepada kerajaan negeri, sambil mendakwa usaha menyegerakan penyelesaiannya juga tidak diberi keutamaan oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.
“Saya minta pengundi Rengit tangguh dulu beri undi kepada BN sehingga dua isu besar ini selesai. Jadikan itu syarat. Ini bukan janji bulan dan bintang. Orang Rengit jaga Rengit,” katanya di Facebook.
Onn Hafiz dituduh lebih tumpu kawasan bandar berbanding Rengit
Puad, yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, turut mengkritik Onn Hafiz kerana didakwa lebih memberi tumpuan kepada kawasan bandar berbanding Rengit.
“Beberapa kali saya minta Onn Hafiz turun dan datang sendiri ke Rengit sebagai push factor kepada agensi kerajaan supaya menyegerakan penyelesaian. Tetapi Onn Hafiz lebih banyak tumpu kawasan bandar. Dia banyak ke Skudai yang wakil rakyatnya daripada DAP,” katanya.
Menurutnya, projek pembinaan tangki air baharu di Rengit sudah mempunyai tapak dan peruntukan, namun pelantikan kontraktor masih tertangguh. Beliau turut mendakwa jawapan kerajaan negeri berhubung isu itu sering berubah.
Ketegangan Puad dan Onn Hafiz berlanjutan susuli isu debat
Semalam, Puad mendakwa Onn Hafiz takut berdebat dengan Maszlee Malik selepas pengerusi Barisan Nasional Johor itu berkata debat bukan pendekatan sesuai dalam budaya politik negeri berkenaan.
Puad berkata alasan bertikam lidah atau berdebat bukan cara Johor tidak wajar digunakan untuk menolak cadangan itu.
Ketegangan antara Puad dan Onn Hafiz bermula pada 25 Jun apabila beliau mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta. Puad mendakwa Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan, manakala Onn Hafiz yang juga pengerusi Umno Johor itu hanya menjadi pak turut kepada pihak tertentu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.