
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengurangkan kadar sewaan tapak penjaja serta premis tertentu di bawah seliaannya sebanyak 50 peratus, berkuat kuasa mulai 1 April ini hingga 31 Disember 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik DBKL di ibu negara.
Menurutnya, pengurangan kadar sewaan berkenaan bertujuan membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi penjaja dan peniaga mikro, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Inisiatif bantu peniaga kecil hadapi tekanan kos
Beliau berkata, ketidaktentuan ekonomi global memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia serta kos logistik, sekali gus menambah beban operasi kepada peniaga kecil di bandar.
“Inisiatif ini sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi penjaja dan peniaga mikro di bandar,” katanya pada sidang media Pengumuman Pemotongan Sewa 50 Peratus Tapak Penjaja Bagi Membantu Rakyat Hadapi Tekanan Kos Sara Hidup di Pusat Penjaja Permaisuri, di sini, hari ini.
Tambah beliau, langkah berkenaan juga menjadikan DBKL antara pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyeluruh pada skala besar bagi membantu peniaga kecil dan warga bandar.
Kadar minimum sewaan ditetapkan RM50
Hannah berkata, potongan itu dilaksanakan secara menyeluruh dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun pengurangan 50 peratus diberikan, kadar sewaan akhir yang dikenakan kepada penyewa tidak akan kurang daripada RM50 sebulan.
Sebagai contoh, jika kadar sewaan asal ialah RM160, selepas potongan 50 peratus kadar baharu menjadi RM80. Jika kadar asal RM80, potongan secara matematik menjadikannya RM40, namun kadar sewa yang dikenakan kekal RM50 kerana tertakluk kepada kadar minimum tersebut.
Bagaimanapun, bagi premis yang mempunyai kadar sewaan RM50 dan ke bawah, kadar sewa akan dikekalkan seperti sedia ada tanpa sebarang pengurangan. Sebagai contoh, jika kadar sewaan asal RM30, kadar itu akan terus kekal pada RM30.
Penyewa perlu jelaskan tunggakan terlebih dahulu
Beliau turut memaklumkan bahawa penyewa yang ingin menikmati insentif pengurangan kadar sewa perlu terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada.
Menurutnya, syarat itu penting memandangkan terdapat permintaan tinggi daripada pemohon lain yang berminat mendapatkan tapak penjaja serta premis perniagaan milik DBKL.
Beliau berkata, langkah tersebut merupakan pendekatan sementara bagi membantu peniaga kecil menghadapi tekanan kos sara hidup semasa, selain mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan dasar yang dilaksanakan memberi kelegaan kepada peniaga kecil.
Pada masa sama, katanya, pelaksanaan inisiatif itu tidak akan menjejaskan keupayaan DBKL untuk terus menyediakan kemudahan serta perkhidmatan berkualiti kepada warga kota.
DBKL juga akan terus memantau perkembangan kos sara hidup dan bersedia mengambil langkah proaktif bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang inklusif, berdaya tahan serta prihatin terhadap kebajikan masyarakat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.