Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg, mengingatkan parti Semenanjung supaya membuat “kira-kira” dahulu sebelum bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, selain menekankan semangat setia kawan yang menjadi asas kekuatan kerajaan persekutuan hari ini.
“Kita (GPS) letakkan kerajaan pusat begitu kuat hari ini atas semangat setia kawan… kita berkehendakkan kestabilan politik negara. Negeri sudah stabil, jangan kacau kestabilan yang ada di Sarawak.
“Demokrasi memang (parti) boleh bertanding, tetapi sebelum bertanding, kira-kira (buat pertimbangan) dahulu,” katanya, menurut Bernama, ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di Kuching.
GPS tidak berundur jika dicabar
Abang Johari turut menghargai pendirian parti yang telah menyatakan keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak, namun menegaskan GPS tidak akan berundur sekiranya dicabar.
Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan pertembungan atau perpecahan dalam politik sebagai petanda sikap progresif. Menurutnya, perkara itu hanya mencetuskan perbalahan dan menyukarkan kerjasama pada masa depan.
Parti yang tidak bertanding
Setakat ini, Barisan Nasional (BN), PAS dan Amanah telah memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak.
Tarikh penting PRN Sarawak
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 pada 12 Disember, manakala penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.