Imej jarang ditemui sekumpulan masyarakat Orang Asli yang hidup terasing di kawasan terpencil hutan hujan Amazon, Brazil, menonjolkan ancaman yang mereka hadapi daripada pembalak, pemburu dan penternak, menurut aktivis pada Selasa.
Survival International, pertubuhan hak masyarakat Orang Asli yang berpangkalan di United Kingdom (UK), berkongsi imej yang disifatkannya sebagai “pertemuan bersejarah” sehari sebelumnya di sebuah kawasan di negeri Maranhão, timur laut Brazil.
Kumpulan Awá minta makanan
Pertemuan itu membabitkan pasukan kerajaan dengan kira-kira 20 anggota masyarakat Orang Asli Awá yang belum pernah menjalin hubungan dengan dunia luar. Kumpulan itu meminta makanan.
Survival International mentakrifkan kumpulan yang belum pernah dihubungi sebagai masyarakat Orang Asli yang mengelakkan hubungan dengan pihak luar dan tidak mempunyai hubungan tetap dengan mereka, meskipun mengetahui kewujudan dunia luar.
“Tiada pertemuan seumpama ini dengan masyarakat Awá dalam sejarah moden, sekurang-kurangnya sejak beberapa dekad lalu,” kata pertubuhan itu.
Pertubuhan itu menambah, masyarakat berkenaan mungkin meminta makanan akibat tekanan susulan pencerobohan pihak luar ke wilayah mereka.
Survival International berkata, imej berkenaan disiarkan atas permintaan sekumpulan masyarakat Orang Asli yang dikenali sebagai Guardians of the Amazon, yang menjalankan kempen menentang kegiatan pembalakan haram dan penternakan lembu.
Reuters tidak dapat mengesahkan lokasi dan tarikh rakaman itu. Tiada versi lebih lama rakaman berkenaan ditemukan dalam talian sebelum 17 November.
Funai kekalkan dasar tiada hubungan
Agensi Hal Ehwal Masyarakat Orang Asli Brazil, Funai, dalam kenyataan kepada Reuters berkata, pihaknya sedang meneliti video dan laporan yang dikongsi di media sosial. Rakaman itu menunjukkan masyarakat Awá yang hidup terasing berinteraksi dengan penduduk sebuah kampung di Tanah Adat Araribóia, Maranhão.
Agensi itu berkata, pihaknya sudah mengaktifkan pelan kontingensi bagi menghadapi situasi pertemuan dengan kumpulan berkenaan, dengan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan risiko kesihatan terhadap masyarakat Orang Asli itu.
Funai turut menegaskan bahawa kerajaan Brazil tidak berusaha menjalin hubungan dengan kumpulan berkenaan, dan dasar tidak mengadakan hubungan akan terus dikekalkan.
Masyarakat Awá ialah kelompok Orang Asli berketurunan Tupi-Guarani yang tinggal di barat laut Maranhão. Menurut Funai, sebahagian daripada mereka masih hidup dalam pengasingan secara sukarela.
Ancaman pencerobohan semakin meningkat
Sejak beberapa dekad lalu, kumpulan masyarakat Orang Asli yang hidup terasing di seluruh Amazon, hutan hujan terbesar dunia, berdepan ancaman akibat pencerobohan pelombong haram, pembalak dan penternak.
“Masyarakat Awá yang belum pernah dihubungi berdepan tekanan amat hebat apabila penceroboh memasuki wilayah mereka dari semua arah, menyebabkan kawasan hutan Amazon yang menjadi tempat tinggal mereka semakin mengecil dan dikelilingi kemusnahan,” kata Pengarah Survival International, Caroline Pearce.
Pertubuhan itu mengenal pasti 196 kumpulan masyarakat Orang Asli yang belum pernah dihubungi di 10 negara di Amerika Selatan, Asia dan rantau Pasifik. Menurutnya, hampir 95 peratus daripada kumpulan berkenaan berada di Amazon, dengan 124 daripadanya di Brazil.
Pertubuhan masyarakat Orang Asli Maranhão, COAPIMA, pula berkata pertemuan dengan masyarakat Awá itu “menekankan kepentingan tindakan berhati-hati oleh agensi bertanggungjawab”.
Menurut COAPIMA, hubungan tanpa perancangan boleh mendedahkan masyarakat Orang Asli yang hidup terasing kepada penyakit dan ancaman lain terhadap keselamatan mereka.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.