Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan beberapa platform media sosial kononnya Menteri Besar, Saarani Mohamad, menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, bagi memohon dan telah mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu, yang disifatkan sebagai tidak benar dan tidak berasas.
“Pejabat Menteri Besar Perak memandang serius penyebaran maklumat tidak benar, khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri.
“Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil,” menurut kenyataan itu.
Grafik menyerupai siaran berita tular
Menurut kenyataan itu, Pejabat Menteri Besar Perak turut mengesan penyebaran grafik yang menyerupai siaran berita televisyen, selain penyiaran semula bahan berita lama yang boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan semasa DUN Perak.
Terdahulu, poster serta maklumat berkaitan pembubaran DUN Perak tular di laman sosial.
Orang ramai dinasihatkan rujuk sumber rasmi
Pejabat Menteri Besar Perak menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kesahihannya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.