Rundingan agihan kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU16 berisiko menjadi rumit jika membabitkan tokoh besar, termasuk yang mahu kembali bertanding seperti Nazri Aziz, kata penganalisis.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, hasrat bekas ahli majlis kerja tertinggi Umno itu kembali ke Padang Rengas bakal menimbulkan konflik. Kerusi itu kini disandang Azahari Hasan dari PN.
Azhari memberitahu FMT bahawa beliau tidak akan menyerahkan kerusinya kepada Nazri dan mahu mempertahankannya pada PRU16.
Ujian kepada kerjasama BN-PN
Menurut Tawfik, keadaan itu menjadi ujian terhadap kerjasama BN-PN jika rundingan kerusi dibuat berdasarkan konsep penyandang diutamakan untuk mempertahankan kerusi terbabit pada PRU16.
Beliau menjangkakan konflik sama bakal berlaku di Gerik, yang mungkin diintai Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki. Penyandangnya kini ialah Fathul Huzir Ayob, juga dari PN.
Selain itu, Parlimen Machang disandang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Kerusi itu mungkin cuba ditandingi Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub, yang pernah mewakili kawasan terbabit sebelum PRU15.
“Saya melihat isu ini sebagai ujian sebenar terhadap keikhlasan kerjasama BN-PN.
“Jika terlalu mengutamakan kepentingan pemimpin masing-masing berbanding kebolehmenangan calon, rundingan kerusi boleh menjadi lebih rumit malah berpotensi mencetuskan pertembungan sesama sendiri di beberapa kawasan,” katanya kepada FMT.
BN dan PN mula bekerjasama sejak PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu, dan diteruskan ke PRN Melaka minggu lalu. Kerjasama itu menyaksikan mereka menang 24 daripada 28 kerusi DUN.
Pemimpin dua gabungan itu tidak menolak kemungkinan kerjasama diteruskan pada PRU16. Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa rundingan dibuat segera, termasuk berkaitan agihan kerusi.
Wawasan pertahan kerusi penyandang
Menurut Tawfik, rundingan mungkin menjadi lebih kompleks kerana Azahari, Fathul dan Wan Ahmad Fayhsal kini menyertai Wawasan, komponen PN, selepas dipecat daripada Bersatu.
Beliau berkata, Wawasan juga mempunyai kepentingan mempertahankan kerusi disandang pemimpinnya bagi memperkukuh kedudukan parti itu dalam PN.
“Namun kemenangan PN pada PRU15 tidak semestinya memberikan hak mutlak kepada penyandang untuk terus bertanding.
“Begitu juga status kubu tradisi Umno tidak bermakna kerusi tersebut mesti dikembalikan kepada BN,” katanya.
Cabaran dari PAS
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata, jika rundingan menggunakan formula mengekalkan kerusi kepada penyandang seperti yang diamalkan pada PRN Melaka, Wawasan mempunyai asas untuk mempertahankan Padang Rengas, Gerik dan Machang.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu sukar diselesaikan apabila pemimpin Umno turut mahu bertanding di kerusi berkenaan, sedangkan penyandang Wawasan dijangka enggan melepaskannya.
Mazlan menekankan cabaran rundingan juga semakin besar kerana PAS sebelum ini menyatakan pendirian mahu mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU15.
“Keadaan itu boleh menyukarkan Umno menuntut semula kubu tradisinya, khususnya di kawasan majoriti Melayu yang turut menjadi tumpuan PAS,” katanya.
Tawfik bagaimanapun berpandangan formula agihan kerusi yang dipersetujui bersama masih boleh dicapai jika BN dan PN bersedia berkompromi dengan mengutamakan calon yang berpeluang menang.
“Kegagalan mengurus persaingan sesama sendiri boleh menjejaskan kerjasama kedua-dua gabungan dan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.