Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) telah diwartakan sebagai bangunan warisan pada awal 2007.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata perubahan status itu menyebabkan nilai tanah tidak lagi dinilai sebagai tanah komersial. Tanah itu hanya boleh digunakan bagi tujuan institusi serta mengekalkan fungsi bangunan warisan tersebut.
“Apabila mereka menukar status tanah daripada komersial kepada institusi, tanah itu sudah tidak bernilai seperti tanah komersial.
“Ia tidak boleh dibangunkan menjadi kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya hanya kekal sebagai bangunan warisan institusi seperti sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan), pada Isnin.
Rayuan kurangkan premium
Menurut Hannah, KLSCAH yang mempunyai baki tempoh pajakan selama lapan tahun mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pengurangan premium. Rayuan itu dibuat memandangkan bangunan berkenaan berstatus warisan dan beroperasi sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Hannah menjelaskan, rayuan itu dikemukakan atas dasar berkenaan sebelum jawatankuasa yang menilai permohonan bersetuju menetapkan premium pada kadar RM1,000.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium pada kadar nominal RM1,000. Anggaran premium terdahulu ialah kira-kira RM4.67 juta.
Kronologi kelulusan
Pada 14 September lalu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi.
Surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober pula menetapkan premium tanah sebanyak RM1,000. Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011, termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.
Kadar sewa tanah tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.
Keputusan itu susulan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan. Komitmen itu dibuat selepas beliau mengunjungi dewan tersebut sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lalu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.