Ketidaksediaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi, membentuk kerjasama rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) buat masa ini dilihat sebagai strategi untuk meningkatkan kuasa tawar-menawarnya bagi PRU16. Demikian pandangan penganalisis.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, Zahid mungkin mahu mengekalkan Pakatan Harapan (PH), sekutu BN dalam kerajaan perpaduan, sebagai pilihan bagi mendapatkan agihan kerusi Parlimen yang lebih menguntungkan.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, turut berpandangan pendekatan itu membolehkan Zahid memberi isyarat kepada kedua-dua gabungan bahawa peluang kerjasama pada PRU16 masih terbuka. Katanya, strategi itu sama seperti yang digunakan pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka.
Zahid “bermain harga”
Zaharuddin berkata, Zahid mungkin mahu “bermain harga” susulan kejayaan BN pada PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, walaupun negeri terbabit sememangnya kubu kuat gabungan itu.
BN menang 48 kerusi DUN secara solo di Johor. Kerjasama dengan PN di Negeri Sembilan dan Melaka pula membolehkan gabungan itu menguasai masing-masing 25 dan 24 kerusi.
Menurutnya, kedudukan BN yang masih bersama PH dalam kerajaan perpaduan memberi Zahid kelebihan untuk menangguhkan keputusan, sedangkan PAS mahu kerjasama dengan BN dimuktamadkan segera.
“Zahid sedang bermain politik dengan dua pintu terbuka, iaitu PH dan PN,” katanya kepada FMT.
“Lebih licik, kewujudan PH sebagai alternatif membolehkan Zahid menghantar mesej tidak langsung kepada PN bahawa BN bukan pihak yang terdesak.
“Jika rundingan kerusi tidak menguntungkan, BN masih mempunyai pilihan politik lain.”
Sebelum ini, Zahid menggelar PN sebagai “rakan strategik baharu” susulan kemenangan PRN Melaka. Namun kelmarin, beliau menegaskan BN belum pernah merancang untuk membentuk kerjasama atau persefahaman politik rasmi untuk PRU16.
Beliau berkata, BN dan PN akan mengadakan perbincangan apabila “tiba masanya”.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa pemimpin BN dan PN segera memulakan rundingan kerjasama, termasuk pembahagian kerusi. Gesaan itu dibuat selepas gabungan berkenaan menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRN Sabtu lalu.
Pertembungan kepentingan kerusi
Azmi berkata, keengganan Zahid memberi komitmen awal kepada PN mungkin berkait dengan cabaran pembahagian kerusi Parlimen, terutama jika rundingan menggunakan formula mengutamakan penyandang.
Menurutnya, formula itu boleh menyebabkan BN terpaksa memberi laluan kepada PN di banyak kawasan, khususnya di Perak dan Pahang, kerana PN mempunyai kelebihan dari segi kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Pertembungan kepentingan itu sudah mula kelihatan apabila bekas menteri Nazri Aziz menyatakan hasrat kembali bertanding di Padang Rengas, yang kini disandang Azahari Hasan dari PN.
Situasi sama berpotensi berlaku di Gerik dan Machang, apabila pemimpin Umno turut dikaitkan dengan kerusi yang kini dipegang wakil PN.
Azmi berkata, dengan mengekalkan PH sebagai pilihan, Zahid secara tidak langsung boleh menekan PN supaya menawarkan pembahagian kerusi yang lebih menguntungkan BN.
“BN boleh beri isyarat yang mereka tak akan tanding solo, tapi mempunyai rakan boleh bekerjasama, selain PN,” katanya.
Risiko strategi Zahid
Bagaimanapun, Zaharuddin mengingatkan strategi Zahid itu mempunyai risiko, terutamanya dari segi kepercayaan pengundi jika percaturan politiknya dilihat terlalu mengutamakan kepentingan parti.
“Zahid jangan terlalu yakin beliau boleh terus mempermainkan persepsi kedua-dua pihak tanpa menjejaskan kepercayaan pengundi.
“Politik yang terlalu banyak percaturan akhirnya boleh menyebabkan rakyat mempersoalkan prinsip sebenar perjuangan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.