Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, mencadangkan MCA hanya bertanding di kawasan bandar sahaja, manakala kawasan majoriti Melayu boleh diserahkan kepada komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Dalam hantaran di Facebook, Adun Merlimau itu turut memuat naik laporan berkaitan lapan resolusi Pemuda MCA. Antaranya mencadangkan pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) bermula di Wilayah Persekutuan.
Bukan pendirian Pemuda BN
Akmal menekankan cadangan yang dikemukakan Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon, itu bukan pendirian Pemuda BN.
“Pendirian ini bukan pendirian Pemuda BN dan semestinya bukan pendirian Pemuda Umno.
“Saya juga ingin mencadangkan kepada MCA agar selepas ini MCA dah boleh bertanding di kawasan bandar sahaja dan kawasan yang majoriti Melayu boleh diserahkan kepada parti komponen yang lain,” katanya dalam hantaran itu.
Cadangan Pemuda MCA
Awal hari ini, FMT melaporkan Ling mencadangkan pilihan raya PBT berkenaan dalam resolusi pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA.
Menurut Ling, langkah tersebut akan memberi penduduk Wilayah Persekutuan peluang memilih wakil mereka dalam kerajaan tempatan, seperti rakyat di negeri lain yang berpeluang mengundi wakil untuk DUN dan Parlimen.
Sejarah pilihan raya PBT
Pilihan raya PBT pernah diadakan sebelum digantung pada 1965 dan secara berkesan dimansuhkan setahun kemudian.
Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) cuba menghidupkan semula pilihan raya itu bagi memenuhi janji pilihan raya, namun tidak berhasil.
Pada Februari 2024, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pilihan raya PBT bukan keutamaan kementeriannya kerana kementerian memberi tumpuan kepada bidang lain, seperti keselamatan jalan raya serta kebersihan tandas dan longkang awam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.