
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menegaskan bahawa amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) jelas haram di sisi Islam dan tidak pernah diiktiraf undang-undang negara.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan, dengan Islam sebagai agama Persekutuan, mustahil Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim akan memberikan ‘lampu hijau’ kepada amalan songsang ini, ” kata Ketua Penerangan AMK Danish Hairundin dalam satu kenyataan.
“Sejak bila negara kita membenarkan LGBT?” soal Danish Hairundin, sambil menambah bahawa golongan ini tidak pernah diiktiraf dalam apa-apa dasar kerajaan. Undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan Seksyen 377A dan 377B dengan jelas memperuntukkan hukuman terhadap liwat dan hubungan sejenis.
AMK menuduh PAS cuba menjadi ‘juara moral’ dengan memainkan isu LGBT, sedangkan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka seperti Kelantan dan Terengganu sering mencatat kes pembuangan bayi, gejala sosial dan penderaan seksual yang membimbangkan menurut laporan NGO dan data tidak rasmi.
“Jika Pemuda PAS benar-benar serius, mengapa masalah sosial di negeri mereka sendiri tidak pernah selesai? Mengapa Kelantan masih mencatat masalah penagihan dadah tertinggi di negara ini?” soal AMK.
“Perdana Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada agenda liberal ekstrem yang bercanggah dengan syariat dan budaya kita. Hak asasi manusia tidak bermaksud mengiktiraf perbuatan yang jelas bercanggah dengan hukum agama dan nilai kemanusiaan.”
AMK mengingatkan PAS supaya tidak menangguk di air keruh dengan retorik murahan untuk meraih populariti politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu sebenar seperti kemiskinan, pendidikan dan masalah dadah di negeri-negeri mereka.