Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhasrat memanfaatkan kekuatan dan pengalaman sedia ada sekiranya diberi peluang untuk terus mentadbir selepas PRU16.
Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), bagaimanapun mengakui bahawa komposisi kerajaan selepas pilihan raya bergantung pada keputusan pilihan raya dan sokongan rakyat kepada parti-parti politik.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan meneraju kepimpinan negara sekiranya diberikan mandat pada PRU16.
“Komposisi kita tak boleh tentu sebab kita tengok keadaan dan sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti. Tetapi kalau saya, tentulah saya nak teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada dapat mengangkat martabat Malaysia,” katanya, lapor Bernama.
Harapan kepada anak muda
Anwar melihat dirinya sebagai seseorang yang mencintai negara dan meyakini keupayaan Malaysia.
“Saya meletak harapan tinggi kepada anak-anak muda dan saya mahu Malaysia ini sekarang diangkat menjulang menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan dunia,” katanya.
Minta bersabar soal tarikh PRU16
Sementara itu, Anwar meminta semua pihak bersabar mengenai tarikh PRU16, susulan desakan segelintir pihak supaya Parlimen dibubarkan.
“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.