
Di halaman sebuah rumah kampung di Kampung Pokka, susunan daun mengkuang yang dilipat rapi menjadi rutin harian Mariah Che Teh, 61, yang masih setia mempertahankan seni anyaman tradisional meskipun telah berada di usia emas.
Bagi Mariah, anyaman tikar mengkuang bukan sekadar kerja tangan atau sumber pendapatan sampingan, sebaliknya sebahagian daripada perjalanan hidup yang sudah sebati dengannya sejak zaman kanak-kanak.
Seni yang diwarisi turun-temurun itu terus dipelihara walaupun berdepan cabaran zaman moden yang semakin meminggirkan hasil kraf buatan tangan.
Seni diwarisi sejak kecil
Mariah berkata, minat terhadap anyaman bermula sejak kecil apabila sering melihat ibunya menganyam tikar sebaik pulang dari sekolah.
“Sejak kecil saya biasa tengok arwah mak menganyam. Balik sekolah, saya duduk dekat-dekat tengok cara dia susun daun, lipat dan ikat.
“Lama-lama, tanpa sedar tangan ini ikut belajar sendiri. Apabila dah biasa buat, rasa sayang pula kalau tinggal. Sampai sekarang, kalau sehari tak pegang mengkuang, rasa macam ada yang tak kena,” katanya.
Proses teliti dari awal hingga akhir
Menurut Mariah, proses menghasilkan tikar mengkuang memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi dari peringkat awal.
Katanya, kerja bermula dengan mengambil daun di hutan atau kawasan paya sebelum disusun supaya sama panjang, dipotong hujungnya dan dibuang duri di bahagian tengah.
“Daun perlu dibelah nipis menggunakan pisau kecil. Semua dibuat dengan tangan, memang ambil masa dan perlukan fokus,” katanya.
Selepas itu, daun mengkuang perlu direbus atau direndam bagi mendapatkan warna semula jadi sebelum dijemur sehingga benar-benar kering.
“Kalau nak warna putih lembut, daun kena direbus lama. Ada yang ambil masa beberapa hari baru warnanya cantik.
“Kemudian dijemur di bawah matahari sampai betul-betul kering. Bila daun dah elok, barulah senang nak anyam dan hasil pun tahan lama,” katanya.
Cabaran hasilkan kemasan tikar
Mariah mengakui bahagian paling mencabar dalam proses menganyam ialah menghasilkan kepala tikar yang menjadi kemasan utama.
“Bahagian kepala tikar paling susah. Kalau silap, tikar boleh jadi senget atau tak rata. Susunan bilah daun kena ikut kiraan tertentu, lipat dan tindih ikut turutan, barulah tikar nampak kemas dan cantik,” katanya.
Walaupun tidak mengejar keuntungan besar, Mariah berkata hasil anyamannya masih mendapat permintaan dalam kalangan penduduk kampung dan kenalan terdekat.
“Tikar biasanya orang ambil untuk kenduri atau sebagai hadiah. Nilainya bukan pada harga. Biasanya saya jual bermula RM40 mengikut saiz.
“Bagi saya, kepuasan menghasilkan tikar lebih bernilai daripada wang,” katanya.
Mariah berkata waktu terbaik untuk menganyam ialah pada awal pagi atau waktu malam ketika suasana lebih tenang dan daun lebih lembut.
“Waktu Subuh atau malam, daun senang nak anyam. Kalau siang panas, daun jadi keras dan mudah patah.
“Bila suasana sunyi, hati rasa tenang. Kerja pun jadi lebih kemas. Menganyam bagi saya satu terapi,” katanya.
Beliau berharap seni anyaman mengkuang dapat terus diwariskan kepada generasi muda melalui kelas, bengkel atau aktiviti komuniti.
“Kalau tak ajar dari sekarang, satu hari nanti orang cuma kenal tikar plastik. Selagi tangan ini kuat, saya akan terus anyam. Ini cara saya jaga warisan kita,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.