
Kematian lima ahli keluarga di sebuah rumah di Kuantan pagi tadi dipercayai merupakan kes bunuh dan bunuh diri, kata polis.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata siasatan awal menunjukkan seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai mencederakan isterinya yang berusia 28 tahun, ibunya, 55, dan dua anak perempuannya berumur tiga dan empat tahun dengan senjata tajam sebelum membunuh diri.
Beliau berkata kelima-lima ahli keluarga itu ditemukan mati di sebuah rumah di Lorong Cerating Damai, Kuantan pagi tadi.
Menurut Yahaya, mayat lelaki, wanita dan anak-anak mereka ditemukan di dalam sebuah bilik tidur, manakala mayat ibunya ditemukan di bahagian dapur rumah teres setingkat berkenaan.
Kejadian tersebut disedari oleh adik lelaki suspek yang berusia 15 tahun yang berada di dalam rumah tersebut pada waktu kejadian dan segera meminta bantuan.
Polis turut mendedahkan bahawa lelaki itu telah berpindah semula ke rumah keluarganya kira-kira sebulan lalu selepas meletak jawatan di Selangor dan baru mula bekerja di Kuantan seminggu yang lalu.
Yahaya berkata siasatan masih diteruskan dan motif kejadian masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
Setakat jam 11.35 pagi, kakitangan forensik masih berada di lokasi kejadian dan mayat-mayat berkenaan masih belum dibawa keluar dari rumah tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.